suria

Jazzy Rashid Bintang Utama 'Siapa Jem'?

Jazzy Rashid
Jazzy Rashid
Jazzy Rashid

KUALA LUMPUR: Baru sahaja muncul dalam sebuah filem iaitu Ratu The Movie, Jazzy Rashid, 24, ditawar berlakon watak utama sebagai Jamilah atau Jem dalam drama Siapa Jem?.

Malah pihak Astro meletakkan harapan yang besar kepada Jazzy untuk berjaya seperti Scha Al-Yahya yang mula mencipta nama menerusi drama Awan Dania.

Drama tersebut akan disiarkan di Astro Ria (saluran 104) mulai 6 Jun ini, setiap Isnin, pukul 9.30 malam untuk episod pertama manakala bagi episod seterusnya akan bermula pukul 9 malam.

Drama bersiri 13 episod arahan Samby Dinesh ini turut dilakonkan oleh Nazim Othman, Miera Liyana, Siti Elizad Saifudin, Sherry Abdullah, Mazlan Mokhtar, Qazim Nor, Datin Noniswara Baharudin dan Radhi Khalid.

"Saya tidak menyangka terus diberi peluang melakonkan watak utama dalam drama pertama saya ini. Jadi, saya merasakan ia merupakan peluang yang baik sebagai pelakon baru untuk meneruskan cita-cita saya untuk ceburi bidang seni.

"Apabila pengarah dan pihak produksi meletakkan harapan yang besar untuk menjadikan saya sebagai bintang, saya rasa ia seperti tanggungjawab yang besar kerana mereka telah meletakkan harapan yang tinggi," katanya semasa pelancaran Siapa Jem? di Restoran Muhibah, Sungai Penchala, di sini, Rabu.

Tambahnya yang turut berlakon dalam telefilem Panggilan Arwah: "Saya akan cuba merealisasikan tanggungjawab ini dengan baik. Lagipun, saya mempunyai impian sendiri untuk terus kekal dalam industri ini.

"Saya amat berterima kasih kepada pengarah filem Ratu The Movie, Prof Madya A. Razak Mohaideen dan Samby. Sepanjang 11 hari menjalani penggambaran drama Siapa Jem?, saya semakin selesa berlakon kerana Samby banyak menolong saya tentang selok-belok berlakon."

Sebelum itu, dia telah mempunyai asas tentang dunia lakonan setelah menyertai bengkel lakonan selama dua minggu yang dianjurkan oleh Razak sebelum berlakon Ratu The Movie.

Pelajar jurusan perakaunan di sebuah kolej di ibu kota ini akan cuba merealisasikan minatnya untuk mencuba pelbagai watak bersesuaian dengan karakternya serta menceburi bidang pengacaraan.

Anak kedua dari tiga beradik dari Pasir Gudang, Johor ini juga berharap penonton dapat menghargai bakat lakonannya dan dia percaya bakat seninya mampu diasah secara berperingkat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain