suria

Schwarzenegger & Isteri Bakal Bercerai?

Arnold Schwarzenegger dan isterinya Maria Shriver.
Arnold Schwarzenegger dan isterinya Maria Shriver.
Arnold Schwarzenegger dan isterinya Maria Shriver.

LOS ANGELES: Bekas Gabenor California dan juga pelakon Terminator, Arnold Schwarzenegger dan isterinya selama 25 tahun, Maria Shriver, pada Selasa mengumumkan bahawa mereka telah memutuskan untuk berpisah tidak lama lagi.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap Schwarzenegger, kedua-dua pasangan itu kini sedang menguruskan tentang masa depan hubungan mereka yang akan hidup terpisah tetapi memberi komitmen untuk terus bersama-sama bertanggungjawab menjaga kebajikan empat anak mereka.

"Selepas memikirkan semasak-masaknya, melakukan perbincangan serta berdoa, akhirnya kami membuat keputusan ini secara bersama," jelas kenyataan itu lagi.

Adalah masih belum jelas sama ada mereka akan terus bermastautin di kediaman mereka di Brentwood atau anak-anak akan berada di bawah jagaan siapa.

Jurucakap Schwarzenegger, Daniel Ketchell bagaimanapun berkata, setakat ini beliau tidak akan memberi kenyataan lebih daripada apa yang dinyatakan di dalam kenyataan ringkas tersebut.

Schwarzenegger, yang kini merupakan ahli politik dari Parti Republican (parti George Bush) baru sahaja menamatkan perkhidmatannya sebagai Gabenor California selama tujuh tahun, Januari baru-baru ini.

Beliau kini secara aktif menyatakan hasrat untuk terjun semula ke dunia lakonan. Manakala Shriver pula merupakan salah seorang daripada keturunan dinasti politik terkemuka Amerika iaitu anak saudara bekas presiden John F Kennedy.

Kedua-dua pasangan itu baru sahaja meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-25 pada 26 April lalu tetapi tidak memberikan sebarang indikasi akan masalah perkahwinan mereka langsung.

Shriver yang juga merupakan seorang bekas wartawan penyiaran telah meninggalkan kariernya di NBC News sejurus selepas Schwarzenegger mengangkat sumpah sebagai gabenor.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain