suria

Kesungguhan Aksi Maroon 5 Pikat 10,000 Penonton

Aksi Maroon 5 dalam konsert Maroon 5 Live in Kuala Lumpur di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam Jumaat pikat 10,000 penonton. - Foto AZMAN GHANI
Aksi Maroon 5 dalam konsert Maroon 5 Live in Kuala Lumpur di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam Jumaat pikat 10,000 penonton. - Foto AZMAN GHANI
Aksi Maroon 5 dalam konsert Maroon 5 Live in Kuala Lumpur di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam Jumaat pikat 10,000 penonton. - Foto AZMAN GHANI

BUKIT JALIL: Tidak seperti aksi kebanyakan artis luar yang hanya mempersembahkan mutu konsert pada tahap sederhana di Malaysia, konsert Maroon 5 Live in Kuala Lumpur di Stadium Putra, malam Jumaat, sebaliknya dilihat penuh dengan kesungguhan dan keikhlasan.

Kumpulan yang dianggotai Adam Lavine (vokal), James Valentine (gitar), Jesse Carmichael (keyboard), Michael Madden (bass) dan Matt Flynn (dram) memulakan persembahan di hadapan 10,000 penonton pada sekitar pukul 9.30 malam.

Dalam konsert berdurasi hampir dua jam itu, kumpulan dari Los Angeles, California, Amerika Syarikat ini menyampaikan 16 buah lagu seperti Misery, Harder to Breathe, Won't Go Home Without You, She Will Be Loved, Secret, Wake Up Call dan This Love.

Antara detik terbaik yang dapat dilihat daripada konsert itu apabila seluruh stadium turut menyanyi ketika lagu hit She Will Be Loved didendangkan.

Malah, keterbukaan Lavine melayan dan berkomunikasi dengan peminat turut berjaya membuatkan seluruh penonton melambaikan tangan bersama ketika lagu This Love disampaikan.

Lavine juga sempat mengusik apabila mengungkapkan kata-kata "saya cinta kamu" dan "terima kasih" yang lantas disambut teriakan luar biasa daripada penonton.

Selain mutu vokal Lavine yang konsisten dan bertenaga bermula daripada lagu pembukaan iaitu Misery, konsert yang ringkas dan padat itu turut diserikan dengan rekaan pencahayaan yang menarik.

Pemenang anugerah Artis Baru Terbaik di Anugerah Grammy 2005 ini sudah menghasilkan tiga album studio iaitu Songs About Jane (2003), It Won't Be Soon Before Long (2007) dan terbaru, Hands All Over (2010).

Konsert Maroon 5 Live in Kuala Lumpur yang bersempena siri jelajah promosi album terbaru mereka dianjurkan oleh PR Worldwide.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain