suria

Iz Anggap Lakonan Seperti Membogelkan Dirinya

Iz OIAM
Iz OIAM
Iz OIAM

PETALING JAYA: Penyanyi Khairullah Ezuan Sulaini atau Iz (OIAM) menganggap pengalamannya berlakon buat pertama kali dalam filem pendek Cinta Akhir seperti membogelkan dirinya sendiri.

Kata Iz, pengalaman menyanyi dan berlakon adalah dua perkara yang berbeza.

Sebagai penyanyi, dia menjadi dirinya sendiri dan bebas untuk menterjemahkan sesebuah lagu itu dengan caranya sendiri.

Berbeza dengan lakonan, duta Kempen Anti-Merokok ini perlu mendedahkan dirinya mengikut tuntutan cerita dan watak. Perkara itu diakuinya bagai membogelkan dirinya sendiri di hadapan khalayak.

"Ini adalah kali pertama saya berlakon dalam filem dan rasa seronok dengan pengalaman baru ini. Cuma saya lebih selesa dengan bidang nyanyian.

"Bukan saya tidak suka dengan peluang ini tetapi saya berasa segan dan tidak yakin apabila menjadi diri orang lain demi memenuhi watak dan jalan cerita.

"Ia seolah-olah membogelkan diri sendiri di hadapan penonton. Jujurnya, saya bimbang dengan reaksi penonton selepas menonton filem pendek ini nanti," katanya.

Selain berlakon dalam filem pendek berdurasi 10 minit itu, Iz turut menyumbangkan lagu tema berjudul Cinta Akhir yang dijangka akan dimuatkan dalam album studio pertamanya tidak lama lagi.

"Selain berlakon, saya juga menghasilkan sebuah lagu tema untuk filem ini. Ia dirakamkan di Jakarta, Indonesia oleh komposer Tohpati.

"Lagu itu juga akan menjadi lagu single pertama saya sebelum kemunculan album studio pertama yang dijangka dipasarkan hujung tahun ini atau awal tahun depan," katanya.

Filem pendek Cinta Akhir akan ditayangkan di GSC Mid Valley pada 31 Mei depan bersempena perasmian Kempen Anti-Merokok.

Selepas itu, ia boleh ditonton dengan melayari laman web www.asap.my.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain