suria

Rabbani Bimbang Hari Ibu Disalah Tafsir

PETALING JAYA: Kumpulan Nasyid Popular, Rabbani mengakui bimbang dengan tanggapan orang ramai terhadap sambutan Hari Ibu yang bakal diadakan mereka di Hotel Singgahsana, pada 8 Mei ini.

Salah seorang ahli Kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, terdapat segelintir masyarakat yang menganggap ia sebagai budaya luar yang tidak boleh diikuti.

“Sebelum kami ambil keputusan untuk raikan Hari Ibu ini, kami telah buat beberapa kajian di Internet dan bertanyakan kepada orang yang lebih arif agar ia tidak bertentangan dengan Islam.

“Kami memandang perkara ini secara positif selagi ia dapat memberi kebaikan dan manfaat kepada kita ia tidak salah.

“Lagi pula kita meraikan orang yang paling istimewa yang menjadi punca kejayaan setiap manusia di dunia ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media majlis Hari Ibu, di sini, Selasa.

Tambah Azadan, sambutan hari ibu ini tidak boleh di samakan seperti Hari Kekasih.

“Saya tersinggung apabila ketika kami promosikan majlis ini ada juga yang anggap ia seperti sambutan-sambutan lain.

“Pada saya ia tidak boleh dibandingkan dengan Hari Kekasih yang secara terang-terangan lebih banyak keburukan,” katanya.

Dalam pada itu, majlis tersebut juga bakal dimeriahkan oleh penyanyi Aishah dan penceramah Datuk Siti Nurbahyah.

“Kami akan menyampaikan enam buah lagu dan sebuah lagu berduet dengan Aishah iaitu lagu berjudul Berkorban Apa Sahaja.

“Manakala Aishah akan menyanyikan empat buah lagu sementara Uztazah Siti Nurbahyah pula bertindak sebagai moderator majlis,” katanya.

Lebih istimewa, majlis ini akan menampilkan anak Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim iaitu Mohd Ilham yang berusia 12 tahun dengan lagu berjudul Iman. Sementara itu, pelbagai hadiah bakal menanti tetamu yang hadir termasuklah pakej umrah bersama Rabbani.

Harga bagi majlis ini bermula RM100, RM150, dan RM250 seorang. Sebarang tempahan boleh menghubungi terus wakil Rabbani Productions (M) Sdn Bhd di talian 03-62721225 (Erin) atau 019-2110300 (Azadan Rabbani).

Artikel Sebelum

Artikel Lain