suria

Muzik Penyelamat Vokal Lemah Britney Spears

PUTERI pop kesayangan ramai Britney Spears kembali ke persada muzik dengan buah tangan terbaru, Femme Fatale.

Bukan hanya tampil dengan susunan muzik seiring trend semasa, malah kemunculan semula Spears menerusi album studio ketujuh ini terbukti masih berbisa.

Jelas sekali, susunan muzik dan vokal menerusi album terbitan komposer terkenal Max Martin dan Dr Luke ini membawakan sesuatu yang bertepatan dengan perkembangan muzik hari ini.

Ironinya, jika dinilai pada keaslian atau pembaharuan lagu-lagu yang dipertaruhkan, ia sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa atau unik.

Namun, pesona Spears tidak dapat disangkal, sekalipun karyanya tidaklah segah sambutan yang diterima.

Penekanan pada susunan muzik adalah kekuatan album ini. Bagaimanapun, Femme Fatale juga memperlihatkan kegoyahan vokal Spears yang kian diragui.

Jujurnya, sukar untuk mengenalpasti keaslian vokalnya dalam setiap lagu kerana aplikasi teknologi yang diketengahkan dalam produksi album ini banyak menyelematkan kekurangan itu.

Pendek kata, kemampuan sebenar vokal Spears diimbangi oleh komposisi muzik dan lagu-lagu rancak yang menghiburkan.

Pun begitu, selepas mendengarkan kesemua 16 trek Femme Fatale, mungkin tidak keterlaluan menyifatkan album ini tidak membawa anjakan revolusi dalam muzik Spears.

Ia lebih manis dilabel sebagai buah tangan untuk peminat bagi meraikan kemunculan semula ibu anak dua ini ke persada muzik selepas tiga tahun.

Lagu-lagu pilihan: Hold It Against Me, Big Fat Bass feat Will.I.Am, How I Roll, Selfish.

Artikel Lain