suria

Salma-Erra Fazira (Mentor 5) Gementar Berada Di Tangga Teratas

Erra (kanan) dan protegenya, Salma ketika konsert kedua Mentor 5 di Wisma MBSA, Shah Alam, Ahad. - Foto SHAARI CHE MAT
Erra (kanan) dan protegenya, Salma ketika konsert kedua Mentor 5 di Wisma MBSA, Shah Alam, Ahad. - Foto SHAARI CHE MAT
Erra (kanan) dan protegenya, Salma ketika konsert kedua Mentor 5 di Wisma MBSA, Shah Alam, Ahad. - Foto SHAARI CHE MAT

SHAH ALAM: Protégé Salma dan mentornya, pelakon Erra Fazira akui gementar walaupun berada di kedudukan teratas sebanyak dua kali berturut-turut bagi kumpulan B program Mentor musim kelima di Wisma Majlis Bandaraya di sini, Ahad.

Kata Erra, dia gusar sekiranya protegenya gagal memberikan persembahan terbaik pada konsert seterusnya memandangkan jangkaan penonton yang pastinya mahukan persembahan lebih bagus berbanding sebelumnya.

Sementara Salma pula menganggap markahnya sebanyak 77 peratus pada konsert kedua itu semakin menurun berbanding konsert pertama iaitu 80 peratus.

“Saya rasa mungkin ada kekurangan, jadi saya perlu membuat persediaan yang lebih baik untuk konsert akan datang.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana masih mendapat tempat pertama. Walaupun begitu, tidak bermakna saya yakin untuk memenangi pertandingan ini sebaliknya saya hanya berjanji untuk melakukan yang terbaik,” kata Salma dalam satu sidang media.

Dalam pada itu, Erra turut menjawab komen juri tetap, Datuk Ramli MS mengenai graf vokal Salma yang mendatar sahaja berbanding konsert lalu.

“Saya terima komen itu tetapi sebolehnya saya tidak mahu terlalu push Salma. Seperti kata Kak Mas Idayu, simpan sedikit ‘senjata’. Jadi, insya-Allah, minggu depan kami akan melakukan kelainan.

“Vokal Salma bernada tinggi dan besar. Jadi, dia boleh menyanyikan lagu bergenre rock atau pop rock tetapi saya selalu menasihatinya supaya menjiwai sesuatu lagu itu.

“Walaupun dia berada di atas, tidak bermakna dia boleh selesa dengan kedudukannya kerana bila-bila masa sahaja peserta lain boleh mengejar markahnya,” jelas Erra.

Mas Idayu diundang sebagai juri jemputan dan turut menyanyikan lagu medley popularnya seperti Cinta 100%, Senggol-Senggolan dan Selangit.

Mentor 5 kumpulan B pada konsert kedua itu juga menyaksikan Iqa, protégé kepada komposer Edry Abdul Halim menduduki tempat kedua dengan markah 56 peratus manakala Aiman, protégé kepada penyanyi Rahim Maarof mendapat 43 peratus.

Salma mendendangkan lagu Bukan Milikmu Lagi yang dipopularkan oleh Agnes Monica dan duet lagu Rama Rama (Ella) bersama-sama Ratnah, diikuti Iqa dengan medley Sejati dan Bujang Senang (kumpulan Wings) serta duet dengan Ayish menerusi lagu Sofea Jane (Black).

Sementara Aiman menyanyikan medley empat lagu iaitu Ekstravaganza (Bunkface), Larut (Dewa), ACKKC (Rahim Maarof) dan Holy Diver (Killswitch Engage) serta duet lagu Aku Dan Dirimu (Ari Lasso dan Bunga Cinta Lestari) dengan Shiha.

Konsert malam itu juga diserikan dengan penampilan istimewa Hadfizi (protégé pilihan) dengan lagu popular Cinta Kristal (Rahim Maarof).

Dalam pada itu, pengacara Faizal Ismail menggantikan Ally Iskandar yang mengerjakan umrah.

Mentor 5 bersiaran di TV3 pada setiap Ahad, pukul 9 malam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain