suria

TV9 Sediakan Filem Menarik Sepanjang April

PETALING JAYA: Sepanjang April ini, penonton setia TV9 dihidangkan dengan filem-filem menarik seperti Pisau Cukur, The Mask, Kelab Idola dan Cinta pada setiap Sabtu, jam 9.00 malam.

Pada 9 April, penonton akan terhibur melihat gelagat dua gadis yang bercita-cita tinggi mengejar lelaki yang kaya dan terpengaruh semata-mata untuk hidup mewah dan mendapat apa yang diidamkan.

Pisau Cukur lakonan Fazura dan Maya Karin ini bukan sahaja lucu tetapi masing-masing terperangkap dengan sangkar yang mereka bina sendiri ketika bertembung dengan isteri-isteri Datuk yang ingin digoda.

Tidak puas dengan filem lucu itu, TV9 juga menyediakan filem yang lebih lucu menerusi filem pecah panggung 17 tahun lalu iaitu The Mask pada 16 April ini.

Lihat sahaja telatah Jim Carrey yang sememangnya lawak membawa dua perwatakan berbeza ketika memakai topeng magik yang ditemuinya ketika berada di satu pelabuhan lama.

Filem aksi komedi arahan Chuck Russel ini memberi tanggungjawab kepada Jim Carrey memegang watak sebagai kerani bank bernama Stanley Ipkiss.

Setiap kali apabila Stanley mengenakan topeng tersebut, perwatakannya mula berubah menjadi semakin romantik tetapi pada masa yang sama bersifat ganas.

Stanley cuba menolong Tina Carlyle (Cameron Diaz) daripada teman lelakinya Dorian Tyrel (Peter Rieger), seorang penjenayah. Stanley menaruh hati terhadap Tina dan berusaha mengambil hatinya.

Untuk menyelamatkan Tina dan memenangi hati Tina, Jim Carrey telah menggunakan topeng tersebut.

Berjayakah Stanley berbuat demikian? Sudah semestinya The Mask ini dapat menceriakan hari Sabtu anda nanti.

Kepada adik-adik yang begitu merindui program Idola Kecil, jangan risau kerana rancangan itu akan menemui adik-adik menerusi telefilem sensasi terbaru mereka iaitu Kelab Idola pada 23 April nanti.

Telefilem eksklusif ini dilakonkan oleh Dayana (IK2) dan Harris (IK3) bergandingan dengan Fimie Don, Kazaruddin Saisi dan Zaibo.

Kemeriahan filem terhebat ini diakhiri dengan filem Cinta yang pernah merangkul Anugerah Filem Terbaik pada Filem Festival Malaysia ke-20.

Ia akan bersiaran pada 30 April ini.

Cinta dilakonkan oleh Datuk Rahim Razali, Fatimah Abu Bakar, Eizlan Yusof, Fasha Sandha, Nanu Baharuddin, Que Haidar, Rashidi Ishak dan Rita Rudaini.

Artikel Berikut

Artikel Lain