suria

Penyingkiran Maharaja Lawak Diumumkan Minggu Depan

Nabil antara peserta yang mendapat undian teratas
Nabil antara peserta yang mendapat undian teratas
Nabil antara peserta yang mendapat undian teratas

KUALA LUMPUR: Walaupun keputusan penyingkiran minggu kedua Maharaja Lawak, Jumaat, sudah ada di tangan, pihak Astro memutuskan untuk mengumumkan keputusan tersebut pada minggu ketiga, sebelum persembahan bermula.

Setakat ini, lima peserta yang mempunyai markah terendah adalah, Jihan, kumpulan No Entry, kumpulan Wai, Man dan Amir manakala tiga tempat teratas ialah kumpulan Jozan, kumpulan Sepah dan Nabil.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, para peminat tidak perlu mengundi lagi peserta yang mendapat markah rendah undian telah pun ditutup dan pada penyingkiran itu nanti, dua peserta akan disingkir serentak.

"Memang ia kedengaran sedikit kejam apabila pihak kami masih lagi menahan peserta yang sudah kalah. Tapi inilah elemen-elemen menarik yang kami tonjolkan dalam pertandingan Maharaja Lawak ini.

"Selain itu, banyak lagi elemen-elemen lain yang akan kami paparkan bagi minggu-minggu seterusnya dimana pihak kami bebas bermain dengan format yang ada.

"Dengan mempunyai permainan format sebegini, peserta akan lebih peka dan tidak mengambil mudah dalam setiap persembahan yang mereka lakukan," katanya.

Program Maharaja Lawak telah berlangsung di Studio Finas, Hulu Klang dan ia disiarkan secara langsung di Astro Prima (saluran 105) dan Astro Warna (saluran 132).

Bagaimanapun, bermula dari minggu depan, Maharaja Lawak hanya akan disiarkan secara langsung di Astro Warna sahaja.

"Sebenarnya, program ini adalah untuk saluran Warna sahaja dan siaran di Prima untuk dua minggu pertama Maharaja Lawak hanya sekadar promosi untuk penonton melanggan Warna (di bawah pakej Mustika).

"Mungkin dari segi rating penonton akan jatuh sedikit, tatapi kami tidak kisah kerana program itu adalah hak Warna.

"Kalau boleh, memang kami mahu semua pelanggan Melayu melanggan pakej tersebut yang menjanjikan pelbagai program menarik untuk ditonton," ujar Nizam.

Sementara itu, antara peserta lain yang turut bersaing ialah kumpulan Balas, kumpulan R2, kumpulan Jambu, Alex dan kumpulan XN3.

Juara Maharaja Lawak bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM300 000, sementara naib juara, RM200 000 manakala tempat ketiga RM100 000.

Para peserta akan diadili dengan konsep 50 peratus markah juri (Ahmad idham, Saiful Apek dan Mamat Khalid) dan 50 peratus daripada undian penonton.

Artikel Berikut

Artikel Lain