suria

Haizi Rani Dapat Anak Pertama Selepas Dua Tahun

Haizi rani
Haizi rani
Haizi rani

PETALING JAYA: Bekas personaliti TV3 Haizi Rani menganggap kehadiran anak sulungnya, Luth Iskandar Ahmad Fazlan yang baru berusia 7 hari itu sebagai hadiah ulang tahun perkahwinannya.

Haizi yang telah dua tahun mendirikan rumah tangga memberitahu penantian dan usaha untuk mendapatkan cahaya mata selama ini akhirnya berhasil.

"Selepas setahun perkahwinan kami memang mengharapkan cahaya mata dan saya mengambil keputusan berhenti daripada aktiviti seni dan tumpukan perhatian kepada perniagaan kedai dobi sahaja.

"Mungkin kerana terlalu aktif menyukarkan saya untuk mengandung, jadi suami menyarankan agar saya memberi tumpuan kepada bisnes.

"Alhamdulilah tiga hari sebelum ulang tahun kedua perkahwinan, saya disahkan mengandung," katanya ketika dihubungi mstar Online.

Bekas peserta Sinaran Pasport Kegemilangan ini melahirkan anak sulung secara pembedahan pada 29 Mac lalu, pukul 10.30 pagi di Pusat Perubatan Umra, Shah Alam, Selangor.

"Sepatutnya tarikh lahir awal April ini tetapi doktor menasihatkan agar dilahirkan secara pembedahan. Jadi saya memilih tarikh 29 Mac sama dengan tarikh hari lahir saya.

"Alhamdulilah pembedahan tersebut berjalan lancar biarpun terdapat sedikit komplikasi hampir mengakibatkan bayi saya lemas," katanya.

Ditanya tentang perancangan untuk masa depan cahaya matanya itu, Haizi memberitahu dia mahu membentuk anaknya menjadi seorang yang berjaya dalam pelajaran.

"Saya tidak kisah apa pun pilihannya tapi yang saya nampak adalah pelajaran mesti diutamakan. Kalau boleh saya mahu dia mendapat pendidikan sempurna," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang perancangan kerjaya, Haizi berkata dia akan kembali semula aktif selepas bayinya membesar.

"Saya sudah rindu untuk kembali semula seperti dahulu, kalau boleh saya mahu kendalikan sebuah program bual bicara pula.

"Buat masa ini saya hanya memberi tumpuan kepada anak saya terlebih dahulu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain