suria

Shaheizy Sam Tunggu Tiga Tahun Untuk Raih Gelaran Paling Popular

Sam menjulang trofi anugerah Artis Paling Popular di Arena Of Stars, Genting Highlands. - Foto SHAARI CHE MAT
Sam menjulang trofi anugerah Artis Paling Popular di Arena Of Stars, Genting Highlands. - Foto SHAARI CHE MAT
Sam menjulang trofi anugerah Artis Paling Popular di Arena Of Stars, Genting Highlands. - Foto SHAARI CHE MAT

GENTING HIGHLANDS: Tiga tahun menunggu, akhirnya impian pelakon Shaheizy Sam untuk meraih gelaran Artis Paling Popular termakbul.

Namun bukan mudah untuk anak bongsu pelakon Khaty Fauziah ini untuk menempa kejayaannya sebelum turut diumumkan sebagai Pelakon Filem Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP) 2010, malam Ahad.

Sebalik kejayaan itu, pelakon yang dikenali dengan nama Sam ini berkongsi tentang jerih-perih ibunya yang banyak menjadi pendorong dan tulang belakang kepada kerjayanya.

"Saya mula mengidam untuk mendapat anugerah ini sejak tiga tahun lalu yang dimenangi oleh Mawi, Nabil dan Datuk Siti Nurhaliza.

"Dengan kejayaan ini, saya sangat berterima kasih kepada mak dan peminat yang banyak mengundi saya kerana tanpa mereka, saya tak akan berada di sini.

"Kemenangan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada cita-cita saya untuk berjaya dalam hidup demi bahagiakan mak saya.

"Saya juga mahu berkongsi kejayaan ini dengan ibu kerana sejak kecil lagi saya sudah nampak susah payah dia dalam hidup di tambah pula menjadi ibu tunggal," ujar Sam yang tidak mengetahui jumlah undian yang dilakukan oleh ibunya.

Tambahnya yang berhasrat untuk menghadiahkan set barangan kemas mutiara Rafflesia berharga RM180,000 kepada Khaty : "Ibu sanggup belikan akhbar dan jika tidak sempat, dia akan meminta tolong orang lain membelikannya semata-mata untuk mengundi saya.

"Alhamdulillah, dengan bantuan kawan-kawan, keluarga dan peminat, saya rasa sangat dihargai.

"Saya rasa seperti usaha saya selama ini sedikit sebanyak terbalas. Dulu, apabila melihat pelakon popular, saya rasa beruntung menjadi seperti mereka kerana dikenali ramai.

"Bagaimanapun, semuanya berbalik kepada doa dan keikhlasan kita kerana Tuhan akan sentiasa membantu hambanya.

"Sebolehnya, saya mahu menjadi seorang pelakon yang bukan hanya bergelar seorang pelakon, tetapi yang terbaik. Saya memerlukan masa untuk menjadi yang terbaik."

Sam turut menyatakan perasaan terkejutnya dan tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan reaksi selepas menerima gelaran 'artis paling popular'.

Pelakon filem Adnan Sempit dan Ngangkung ini juga pada mulanya menyangkakan gelaran itu menjadi milik Zizan (Raja Lawak), Faizal Tahir, Yuna, Aizat atau Lisa Surihani.

Dia yang menceburi dunia lakonan sejak di bangku sekolah pada tahun 1994 turut teruja menantikan lapan buah filemnya yang belum ditayangkan di pawagam termasuk filem Kongsi pada Mei tahun ini.

Dalam perkembangan lain, adik kepada pelakon Zizie Ezette ini akan berlakon sebuah filem muzikal komedi romantik sebagai seorang pelajar dan menjalani penggambaran di Korea dalam masa terdekat ini.

Kemenangan Sam turut melayakkannya memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM310,000.

Ia termasuk Nissan Teana 2.0 berharga RM133,400 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, aksesori mutiara putih tajaan Rafflesia/Mandalay bernilai RM180,000 serta hadiah iringan dan trofi.

Hadiah Bintang Paling Popular disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Amy Search Terajui AF9

Artikel Lain