suria

'Sebelum Aku Pergi' Lirik Terakhir Seri Bayu

PORT DICKSON: "Sebelum Aku Pergi" merupakan lirik lagu terakhir yang dicipta oleh Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik, 45, yang meninggal dunia di Hospital Port Dickson kira-kira 8.30 malam tadi akibat penyakit saraf.

Lirik itu dihasilkannya beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia, khusus untuk anak angkatnya Nazira Abdul Ghani, 16, yang baru mahu bertapak di bidang seni.

"Dia menyiapkan lagu ini dengan bahasa isyarat dengan dibantu oleh Nazira. Lagu dan lirik ini ditulis dalam dua minggu terakhir hidup Allahyarham.

"Lirik yang ditulis untuk lagu berkonsepkan balada ini banyak menyentuh kesedihan Allahyarham terutama mengenai masalah penceraian dengan isteri keduanya." kata abang angkat Allahyarham, Abdul Ghani Pandak Sidi, 50-an.

Menurut Abdul Ghani, Seri Bayu dimasukkan ke Hospital Port Dickson pada Jumaat lalu apabila tiba-tiba dia iserang sakit kuat akibat jangkitan kuman dalam paru-parunya.

Penulis lirik kelahiran Singapura yang juga bekas wartawan ini menderita sakit lumpuh selama enam tahun akibat masalah saraf.

Sepanjang tempoh itu, Allahyarham dijaga oleh adik-beradik angkatnya yang tinggal di Shah Alam, Serdang dan kali terakhir di rumah Abdul Ghani.

Antara bait lirik lagu Sebelum Aku Pergi ialah:-

"Lukaku simpan dalam senyuman. Menangis hatiku siapa yang tahu".

Nazira hanya termenung melihat helaian lirik lagu itu yang ditunjukkan oleh Abdul Ghani dan tidak dapat menjawab semua pertanyaan wartawan kerana terlalu sedih dengan pemergian ayah angkatnya itu.

Dia berkata dia sukar untuk memahami pergerakan mulut serta tangan Allahyarham ketika menulis lirik serta lagu itu.

Seorang sahabat lama Allahyarham, Azmi Zahari memberitahu bahawa Allahyarham berkahwin dua kali tetapi kedua-duanya tidak bertahan lama.

"Saya tidak pernah berjumpa dengan anak-anak Allahyarham tetapi beliau ternyata amat sayangkan mereka. Potret lima anaknya dengan isteri pertama menjadi pengisi Allahyarham ketika rindu," katanya.

Azmi berkata beliau telah merancang untuk mengadakan konset kebajikan untuk Seri Bayu pada tahun lepas bersama dengan beberapa orang artis tempatan, tetapi konset itu tidak dapat diteruskan akibat masalah tertentu.

"Saya rasa sepanjang hayat Allahyarham, beliau telah menulis sebanyak lebih dari 2,000 lirik lagu. Artis yang mendapat khidmat penulis ini ialah Jamal Abdillah dan Anita Sarawak," katanya.

Artis tempatan yang dikatakan mendapat khidmat terakhir Allahyarham tahun lepas ialah penyanyi Sheeda melalui lagu "Muah Muah Sayang".

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telok selepas solat Zuhur, Ahad.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain