suria

Semarak Rafflesia Menjelang ABP 2010

Nasha Aziz
Nasha Aziz
Nasha Aziz

MENJELANG malam Anugerah Bintang Popular (ABP) 2010 yang bakal berlangsung pada 3 April ini di Arena of Stars, Genting Highlands, Pusat Mutiara Rafflesia & Mandalay menganjurkan malam gala yang menghimpunkan lebih 40 selebriti terkenal tanah air.

Semarak kilauan bintang terserlah pada setiap selebriti yang hadir ditambah pula dengan peragaan gaun dan sut masing-masing bertemakan warna keemasan. Ia diadakan di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur pada 18 Mac lalu.

Antara selebriti yang terlibat seperti pelakon Elaine Daly, Liyana Jasmay, Zahnita, Juliana Evans, Wan Sharmila, Intan Ladyana, Memey Suhaiza, Diana Danielle, Amber Chia, Irma Hasmie, Deja Moss, Fahrin Ahmad dan Norman Hakim.

Rafflesia & Mandalay turut menjemput artis-artis baru seperti Bkay (Ratu The Movie), Kilafairy, Adeline Tsen, Ana Dahlia dan Dottie.

Dottie pertama kali dicalonkan dalam ABP dan bakal bersaing untuk kategori Artis Baru Wanita Popular di samping Adira, Ana Raffali, Mizz Nina dan Elfira Loy.

Jurucakap Rafflesia & Mandalay, Bill Bora selaku pengerusi majlis turut memperkenalkan pereka fesyen terkenal yang menghasilkan pakaian yang diperagakan oleh selebriti tersebut seperti Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat, Hazwani, Nik Erwan Roseli, Zery Zamry, Ariff Shukor, Riffai, Wan Huzairil, Wanpa, Bill Keith, Saiful Bahrim dan Lord’s Tailor.

Sepanjang majlis makan malam itu, tetamu yang hadir turut dihidangkan dengan persembahan nyanyian oleh penyanyi Maulana, Deja Moss, Diana Danielle, Shila Amzah, Haziq dan Kilafairy.

Maulana bakal merebut gelaran Artis Baru Lelaki Popular di samping Daus, Sharnaaz Ahmad, Shahz Jaszle dan Shahir.

Deja menghidupkan malam tersebut apabila mengalunkan lagu One Night Only yang menghiburkan. Dek kerana terlalu asyik menyanyikan lagu tersebut, Deja tidak mampu mengawal tepi gaun yang menutup lengannya melurut ke bawah.

Sementara Kilafairy dan Haziq turut menghiburkan penonton dengan dendangan duet lagu hindustan berjudul Khushian Aur Gham.

Ternyata suara Kilafairy sangat lunak dan merdu bak penyanyi lagu tersebut, Alka Yagnik.

Buat pertama kalinya, Diana Danielle memperdengarkan single pertamanya genre rock balada akustik berjudul Tak Pernah Ada yang bakal diterbitkan sebelum hujung tahun ini.

Diana bakal bertanding kategori Pelakon Filem Paling Popular di samping pesaingnya iaitu Lisa Surihani, Liyana Jasmay, Maya Karin dan Scha Alyahya.

Selain menikmati juadah makanan, tetamu juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah seperti mutiara tajaan Rafflesia dan Mandalay.

Foto NORAFIFI EHSAN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain