suria

Liyana Jasmay Buat Praktikal Di Tayangan Unggul

KUALA LUMPUR: Pelakon Liyana Jasmay (gambar) sedang melakukan latihan praktikal di syarikat penerbitan filem Tayangan Unggul Sdn Bhd bermula Isnin.

Liyana yang sedang menuntut peringkat diploma jurusan Seni Persembahan & Media di Kolej Sunway, turut tidak sabar untuk menjalani latihan amali di produksi milik penerbit Gayatri Su-Lin Pillai itu.

Menurut Liyana, dia memilih untuk membuat praktikal syarikat tersebut kerana telah lama bekerjasama di bawah Tayangan Unggul menerusi filem Castello, Maut, Duhai Si Pari-Pari, Histeria dan Papadom.

“Saya tidak sabar untuk memulakan latihan itu kerana selepas ini saya bakal menempuhi pelbagai cabaran dan sudah tentu saya gemarkan sesuatu yang mencabar.

“Saya juga tidak sabar untuk bekerja dalam suasana yang baru kerana sebelum ini saya hanya menjadi pelakon di bawah syarikat itu tetapi berlainan pula kali ini apabila saya bekerja di belakang tabir dan belajar cara-cara untuk membikin sebuah filem,” ujarnya kepada mStar Online.

Sementara sibuk dengan latihan amali selama tiga bulan ini, Liyana terpaksa menolak mana-mana tawaran lakonan buat sementara waktu kerana menjadi kesalahan sekiranya dia bekerja dalam tempoh tersebut.

Selain itu, dia juga berkobar-kobar untuk menamatkan pengajiannya sebelum hujung tahun ini selain berhasrat menyambung pengajiannya peringkat lebih tinggi dalam bidang seni.

Liyana pernah memasang cita-cita untuk melanjutkan pelajaran di Sydney, Australia dalam bidang persembahan muzikal.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain