suria

Impian hebat Gavin Stenhouse

RASANYA, ramai yang mengenali jejaka bernama Gavin Stenhouse. Kalau ada yang kenal pun kerana mungkin pernah membaca kisah cintanya dengan pelakon jelita Sharifah Amani sebelum ini.

Namanya mula disebut-sebut setelah dia membintangi filem terbitan KRU Studios, Hikayat Merong Mahawangsa sebagai Putera Rom yang bakal ditayangkan pada 10 Mac depan.

Bagaimanapun, kehadiran Gavin sebenarnya sudah diterima dalam industri seni tempatan sejak berlakon dalam drama Keabadian Cinta bersama Cheryl Samad, di bawah arahan Khabir Bahtia.

Kemudian, di bawah pengarah yang sama juga, Gavin yang berusia 25 tahun turut berlakon dalam drama Akinabalu bersama Aaron Aziz dan Dira Abu Zahar.

Bagi anak kelahiran Hong Kong ini, dia sudah cukup selesa dengan pergerakan industri lakonan tempatan dan mahu membina tapak sendiri di Malaysia.

“Memang saya ada berlakon untuk beberapa buah drama dan filem di bawah penerbitan tempatan dan setakat ini saya selesa bekerja di sini.

“Walaupun saya menetap di London, ia bukan satu masalah untuk datang ke Malaysia melakukan kerjasama dengan produksi tempatan.

“Sebab itu bila ditawarkan berlakon dalam Hikayat Merong Mahawangsa, saya begitu teruja kerana selain dapat bekerjasama dengan produksi tempatan, saya dapat melihat keindahan langit yang sentiasa terang dan ada kalanya pula mendung dan hujan. Ia satu kejadian alam yang unik berbanding di negara saya,” tuturnya.

Agak mesra ketika ditemu bual, Gavin berkata dia kini sedang membuat perancangan untuk mengembangkan kerjaya seninya sehingga ke peringkat Hollywood.

“Sebenarnya saya banyak berlakon teater dan beberapa buah drama di London. Tetapi sebagai seorang pelakon, sudah semestinya kita ingin dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa bukan?

“Justeru itu, saya ada beberapa rancangan untuk memperkenalkan diri di beberapa buah negara. Setakat ini saya ada menandatangani sebuah projek bersama seorang pelakon di Hollywood,” katanya.

Menariknya tentang Gavin, lelaki ini bukan sahaja berbakat dalam lakonan bahkan dia juga memiliki sebuah kumpulan band trio di London iaitu, Sam Palladio sebagai bermain bass dan banjo bersama dua rakannya iaitu, Adam Welsh (keyboard) dan Sam (vokalis).

“Kami baru saja menyertai Sam Palladio yang sebelum ini hanya bergerak secara solo. Muzik yang kami bawakan lebih ke arah konsep indie dan folk rock.

“Mana tahu, satu hari nanti, saya akan bawa kumpulan ini ke industri muzik tempatan di Malaysia pula,” selorohnya.

Sementara itu, sengaja mengorek sedikit rahsia tentang perhubungannya dengan Amani, kata Gavin, dia dan Amani sudah pun memutuskan hubungan cinta sejak September tahun lalu disebabkan oleh kesibukan karier masing-masing.

Bagaimanapun, Gavin dan Amani masih lagi berbaik dan saling berkongsi idea dalam berkarya.

“Kami masih lagi akrab. Malah saya dan Amani turut menghasilkan beberapa skrip bersama,” tuturnya ringkas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain