suria

'Rebab Berbisik' Tonjol Perjuang Mak Yong

Rosnan Rahman
Rosnan Rahman
Rosnan Rahman

KUALA LUMPUR: Pelakon teater terkenal Rosnan Rahman yang juga satu-satunya individu yang memegang watak Pak Yong Malaysia bakal mementaskan teater Rebab Berbisik di Lambang Sari, Istana Budaya pada 8 hingga 11 April depan.

Teater monodrama yang berkisar tentang kehidupan penggiat seni Mak Yong itu merupakan kali pertama dipentaskan di Istana Budaya, bagaimanapun telah dipentaskan sebanyak lapan kali di beberapa negeri sejak 2006 lalu.

Menurut Rosnan, pementasan tersebut dibuat bagi memberi kesedaran kepada golongan masyarakat yang semakin lama terlupa terhadap peninggalan sejarah ini.

“Kami mula bergiat sejak tahun 2006 lagi, tapi ia mula di pentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka dan kemudian diteruskan dengan siri jelajah ke beberapa negeri pantai timur.

“Tujuan utama pementasan ini adalah bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang nilai khazanah yang semakin pupus,” katanya ketika ditemui di sidang media Monodrama Rebab Berbisik, di sini, Khamis.

Dalam teater tersebut Rosnan akan membawa empat watak secara monodrama iaitu sebagai Pak Samat, Isteri (Mak Yong) dan dua anak lelakinya.

Teater hasil karya dan arahan Rahimidin Zahari ini juga bakal membolehkan sumbangan daripada hasil kutipan diberikan kepada empat tokoh penggiat Mak Yong iaitu Hanimah Hussin, Dollah Daud, Tuan Kecik Tuan Yeh dan Ibrahim Senik.

Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani berkata pementasan ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial Istana Budaya dalam memperjuangkan khazanah dan nilai seni masyarakat.

“Kita tidak mahu orang menuduh Istana Budaya hanya mementaskan teater bernilai komersial semata-mata. Kita juga bertanggung jawab untuk mengangkat sejarah dan warisan yang semakin pupus ini.

“Saya harap ia akan dipentaskan dengan skala yang lebih besar lagi pada masa akan datang,” katanya.

Teater Manodrama Rebab Berbisik ini akan dijayakan dengan iringan pemuzik dan penari iringan Istamuzika & Artistana.

Tiket dijual dengan harga RM32, RM52 dan sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-41478600 atau layari www.ticket2u.biz.com.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain