suria

Sasha Saidin Hasilkan Produk Penjagaan Kulit

PETALING JAYA: Model terkenal Sasha Saidin, 35, (gambar) akan mengeluarkan produk penjagaan kulit sendiri yang dijangka dilancarkan sebelum pertengahan tahun ini.

Sasha mengimpikan untuk menceburi perniagaan tersebut hasil sokongan keluarga dan minatnya dalam bidang kecantikan.

“Sekarang produk tersebut telah siap cuma menunggu proses untuk menyiapkan logo. Insya-Allah, jika tiada aral melintang produk ini akan menembusi pasaran dalam sebulan atau dua bulan lagi.

“Produk ini merupakan produk tempatan dan semua proses termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilakukan di Malaysia bermula enam bulan lalu,” kata Sasha kepada mStar Online.

Bidang perniagaan bukanlah suatu perkara asing buat Sasha kerana isteri kepada pemuzik dari Indonesia, Salyo Priyanto ini mempunyai pendidikan Diploma Pentadbiran Perniagaan.

Malah dia menjadikan karier barunya ini sebagai permulaan untuk menjana pendapatan yang lebih kukuh pada masa hadapan.

Menyelongkar sedikit tentang kecantikan, Sasha akui banyak mengamalkan petua daripada ibu dan neneknya tanpa perlu menggunakan suntikan botoks atau yang memudaratkan kesihatan.

“Buat masa ini saya masih aktif dalam bidang seni. Saya akan mengacara sebuah program motivasi dalam bahasa Inggeris untuk sebuah stesen televisyen dan melakukan aktiviti peragaan pakaian dan tudung.

“Saya rasa tidak salah untuk mencuba sesuatu yang baru yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Lagipun, sejak mempunyai Adam Aryasenna Notosoemarsono berusia setahun enam bulan, saya jarang mengambil kerja luar dari Kuala Lumpur kerana mahu menumpukan kepada anak dan keluarga.

“Tetapi jika saya perlu berurusan dalam tempoh tidak lebih dari tiga hari rasanya tidak menjadi masalah,” ujar bekas anggota kumpulan Elite yang pernah popular menerusi lagu Tamparan Wanita dan Manisnya Senyumanmu.

Artikel Lain