suria

Lat & Awie Penyebab Atilia Berlakon Semula

PETALING JAYA: Karier dalam bidang lakonan bukanlah menjadi fokus utama kepada penyanyi Atilia (gambar). Namun disebabkan mengagumi kartunis terkenal Datuk Mohd Nor Khalid (Lat) dan penyanyi Awie, dia kembali berlakon teater.

Lebih menguatkan dirinya untuk berlakon teater muzikal Lat Kampung Boy yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 16 Mac hingga 3 April ini adalah kerana elemen muzikal yang diterapkan.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Kekanda Adinda hasil duetnya dengan Loque itu memegang watak Faizah iaitu isteri kepada Lat dan akan menyanyikan tiga buah lagu dalam pementasan muzikal di bawah arahan Hans Isaac dan Harith Iskander itu.

Dia bukan sahaja perlu menyanyi secara solo dalam sebuah lagu malah perlu menyampaikan sebuah lagu duet dengan Awie dan sebuah lagi berduet dengan Sandra.

“Selepas menjalani latihan selama seminggu, saya rasa selesa dengan team produksi Lat Kampung Boy kerana kami sering bergurau dan menghidupkan jiwa kelakar jadi semuanya kerja tanpa perlu stres.

“Hans dan Harith juga memberikan kebebasan kepada saya untuk membuat homework dan mendalami watak sendiri di rumah tanpa kerap menghabiskan masa untuk sesi latihan. Jadi, saya hanya perlu datang latihan dari waktu tengah hari hingga pukul 8 malam.

“Skrip ceritanya juga mudah difahami dan seronok untuk dibaca. Saya juga perlu bercakap sedikit loghat Perak kerana Datuk Lat merupakan orang Perak tetapi loghat saya tidaklah pekat sangat berbanding watak Datuk Lat yang dilakonkan oleh Awie,” katanya yang pernah berlakon teater muzikal P. Ramlee dan Always In Wonderland.

Tambahnya, tidak sukar untuk bercakap dalam loghat Perak kerana dia boleh belajar dengan ibu tirinya yang berasal dari Sayong, negeri itu.

“Saya pasti ramai yang tidak tahu tentang personaliti Datuk Lat dan dia merupakan kartunis bertaraf antarabangsa.

“Dia bukan sahaja menjadi hero kepada artis dan seniman malah kepada sesiapa sahaja,” ujarnya yang akan menumpukan kepada pembikinan album ketiganya selepas selesai pementasan teater tersebut.

Dalam perkembangan lain, Atilia dijangka bakal muncul dalam program Acoustic Night di Astro pada bulan Mac depan. Selain Atilia, program yang telah menjalani rakaman tersebut turut melibatkan Adibah Noor, Aizat, Zainal Abidin, Bittersweet dan Pesawat.

Pada bulan April ini, dia akan menjayakan sebuah lagi program seperti itu bersama-sama dengan artis lain.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain