suria

"Siti" Tampil Kehebatan Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR: Sebuah Program bual bicara berjudul Siti yang dihoskan oleh penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza bakal disiarkan pada setiap Sabtu dan Ahad, pukul 9 malam bermula 12 Februari ini di Astro Ria.

Program tersebut mampu mengubah persepsi penonton serta memberi aspirasi dan inspirasi melalui pelbagai segmen yang akan disiarkan.

Pengurus Saluran Astro RIA, Azlin Reza Azmi berkata program itu bakal menjadi sebuah progran bual bicara istimewa apabila pertama kali dikendalikan oleh penyanyi nombor satu negara.

“Kami amat berbesar hati dengan kesudian Datuk Siti Nurhaliza mengemudi rancangan bual bicara untuk siaran Astro Ria ini.

“Pengalamannya sebagai anak seni dan kehidupan beliau yang penuh warna warni pastinya akan menyuntik pelbagai elemen menarik dalam program ini, selain popularitinya yang mampu menarik tontonan pelbagai lapisan masyarakat.

“Program ini juga menjadi platform untuk mendekatkan lagi Siti dengan masyarakat,” katanya.

Program yang akan bersiaran selama satu jam ini terbahagi kepada lima segmen. Setiap segmen ini berperanan menonjolkan karisma Siti Nurhaliza selaku seorang penghibur, penemuramah yang peka, individu yang sensitif, berjiwa khalayak dan seorang penggalak seni.

Dalam program ini juga akan memaparkan kehidupan golongan yang kurang berkemampuan.

Selain itu, beliau turut menampilkan tokoh masyarakat untuk berkongsi rahsia selain mengalunkan suara merdunya sama ada secara solo mahupun diiringi kumpulan muzik.

“Siti akan membawa beberapa tokoh terkenal tanah air untuk ditemubual. Pelbagai rasa dan rahsia akan dicungkil untuk dikongsi dengan para penonton.

“Memulakan ruang bicara Siti, tokoh pemimpin negara, mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat kemunculan istimewa pada episod pertama yang akan ditayangkan pada hujung minggu ini,” ujar Azlin.

Pada segmen penutup, Siti akan membincangkan beberapa isu semasa yang hangat dibincangkan seperti gejala buang bayi, bahaya kasut tumit tinggi, kehebatan Nirwan si budak makan api dan masalah kegemukan dikalangan masyarakat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain