suria

Lindsay Lohan Didakwa Kerana Mencuri Rantai

LOS ANGELES: Bintang Hollywood bermasalah, Lindsay Lohan akan didakwa secara rasmi Khamis atas tuduhan mencuri seutas rantai bernilai $2,500 dolar (RM8,000) dari sebuah kedai barang kemas di Venice Beach.

Pelakon yang masih lagi di bawah tempoh percubaan atas kesalahan ketagihan dadah itu mengakui bahawa dia ada mengambil rantai terbabit tetapi hanya untuk meminjamnya.

Bagaimanapun Lohan tetap akan didakwa di mahkamah atas kesalahan mencuri dengan niat, menurut Timbalan Pendakwa Raya daerah, John Lynch.

"Pemilik kedai berkenaan melaporkan kecurian di balai polis Los Angeles yang membuat penyiasatan atas tuduhan itu dan telah memberi bukti kepada pejabat Pendakwa Raya daerah," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat itu.

Pelakon yang berusia 24 tahun tersebut pernah dipenjarakan untuk satu tempoh masa sementara pada September tahun lepas kerana gagal menjalani ujian air kencing yang diarahkan mahkamah.

Lohan telah dijatuhi hukuman penjara selama 90 hari dan 90 hari lagi di pusat pemulihan dadah kerana melanggar tempoh percubaan di dalam kes memandu secara mabuk.

Lohan yang sering berparti dan menjadi sasaran kegemaran paparazzi itu adalah bintang Disney pada usia kanak-kanaknya dan pernah dianggap sebagai pelakon harapan generasinya.

Lohan mengalami kejatuhan dalam kerjaya seninya sejak 2005 disebabkan masalah ketagihan dadah, sering keluar masuk ke pusat pemulihan dan beberapa filemnya yang tidak berjaya.

Pada tahun 2007 dia pernah dipenjarakan selama 84 minit selepas ditahan polis sebanyak dua kali kerana kesalahan mempunyai kokain semasa memandu.

Dalam satu kejadian, dia pernah merempuh sebatang pokok dengan kereta Mercedes-Benz yang dipandunya.

Pada tahun 2008 pula, bintang Parent Trap itu menerima dua Anugerah Razzie, iaitu anugerah yang diberikan kepada produksi dan pelakon Hollywood yang tercorot. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Eva Longoria Temui Cinta Baru

Artikel Lain