suria

TV1 Sediakan Program Menarik Sempena Maulidur Rasul

Drama Qun Faya Qun
Drama Qun Faya Qun
Drama Qun Faya Qun

PETALING JAYA: Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul pada 15 Februari akan datang, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyediakan pelbagai program-program menarik untuk penonton-penonton di rumah menerusi saluran TV1.

Bermula dengan program Sambutan & Perarakan Maulidur Rasul yang diadakan secar alangsung dari Masjid Putra Jaya ke Masjid Tunku Mizan pada pukul 7.25 pagi, dokumentari Kasih Seorang Rasul akan disiarkan pada pukul 11.30 pagi.

Tiga buah telemovie menarik yang sarat dengan pengajaran berguna turut dipaparkan menerusi telefilem Qun Faya Qun (jam 2.05 petang).

Drama lakonan Maria Farida, Khairil Anwar, Yasmin Hani, Aida Khalida, Azhar Sulaiman dan Mie Raja Lawak mengangkat isu pembuangan bayi yang sedang hangat diperkatakan kebelakangan ini

Pada 18 Februari pula, drama Bidadari Dari Raudhah mengisahkan keinsafan seorang pemuda bernama Khir yang telah banyak membuat dosa dalam hidupnya. Begitu pun sepanjang hidupnya dia selayaknya bersyukur kerana dikurniakan isteri sebaik Raudhah yang banyak bersedekah di luar pengetahuan Khir dengan harta benda mereka.

Drama yang dilakonkan oleh Adi Putra, Elly Mazlein, Dato Jalaluddin Hassan, Roy Azman, Othman Basri dan Ezany Nizariff ini disiarkan pada pukul 10.30 pagi.

Mengisi slot Nurani, drama Aku Bukan Siti Khadijah pada keesokkan harinya iaitu pada 19 Februari 2011, pukul 3.00 petang, memaparkan perbezaan pendapat antara Zulaikha dan Zahir mengenai kedudukan dan peranan seorang isteri dan wanita sehingga menyebabkan Zulaikha mengambil keputusan meletakkan jawatan dan menguruskan rumahtangga meskipun segalanya di luar kemahuannya.

Zahir hanya mahukan seorang isteri yang menurut perintah dan mengikut telunjuknya.

Hakikatnya Zahir sendiri gagal berperanan sebagai suami yang baik kepada Zulaikha. Saksikan drama yang menggandingkan watak utama Betty Benafe dan Esma Danial di samping Kenchana Dewi dan Siti Fazurina ini khas sempena sambutan Maulidur Rasul ini.

Artikel Lain