suria

Shila Amzah Jayakan Persembahan Di Kazakhstan

Shila buat pertama kalinya menjayakan persembahan di Kazakhstan. - Foto EDINOR YAZIZ
Shila buat pertama kalinya menjayakan persembahan di Kazakhstan. - Foto EDINOR YAZIZ
Shila buat pertama kalinya menjayakan persembahan di Kazakhstan. - Foto EDINOR YAZIZ

KUALA LUMPUR: Setelah 12 tahun berkecimpung dalam industri seni, buat pertama kalinya penyanyi Shila Amzah (gambar) akan menjayakan konsert di Kazakhstan bermula 30 Januari sehingga 5 Februari depan.

Shila merupakan satu-satunya artis Malaysia yang di undang untuk menyanyi di konsert Asia Star Session pada Festival Voice of Astana sempena temasya sukan 7th Winter Asian Games di negara itu.

Temasya itu merupakan sambutan ke-50 tahun acara sukan tersebut sejak pertama kali diadakan di New Delhi pada tahun 1951.

Pemilihan Shila ke Kazakhstan dilakukan oleh Performers & Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism) agensi yang bertanggungjawab mengutip royalti persembahan artis di tempat awam.

"Selaku pihak yang dilantik oleh jawatankuasa penganjur bagi memilih wakil Malaysia ke festival tersebut, kami melihat kecemerlangan vokal Shila dan kejayaannya menjuarai pertandingan Penang-Shanghai world Star Quest pada Mei 2008," kata Pengurus Besar Prism, Ong Peng Chu dalam satu sidang media di Bora Ombak, Ampang, di sini, Khamis.

Shila akan berkongsi pentas bersama-sama penyanyi dari 45 buah negara seperti Korea Selatan, Jepun, China, Filipina dan negara-negara dari Timur Tengah.

Selain konsert Asia Star Session, festival itu turut merangkumi dua lagi acara besar iaitu konsert Klasikal dan Opera serta Moden dan Hip Hop.

Shila yang akan berlepas ke Kazakhstan Ahad ini akan ditemani oleh ibu bapanya dan wakil pihak Prism.

"Saya rasa teruja kerana akan membuat persembahan di hadapan ramai penonton dari luar negara. Saya akan membuat persembahan pada 3 Februari dengan memilih lagu Nirmala nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dan sebuah lagu Inggeris yang belum diputuskan.

"Setakat ini, saya berlatih menyanyi lagu The Climb nyanyian Miley Cyrus dan I Drove All Night nyanyian Celine Dion.

"Selain itu, saya suka melancong dan ini merupakan kali pertama saya terbang jauh," katanya yang pernah membuat persembahan di Singapura.

Selain memperkenalkan lagu Malaysia di sana, anak kepada pelakon ND Lala ini akan menonjolkan budaya Malaysia dengan memperagakan pakaian daripada tiga pereka tempatan iaitu Faizal Azraf, Salikin Sidek dan Ariff Shukor.

"Sebagai persediaan sebelum ke sana, saya telah membuat latihan nyanyian selama sebulan dan tidak lepas bersenam selama 30 minit di rumah untuk mengekalkan stamina.

"Saya juga berharap kesihatan tidak terjejas apabila berada di sana walaupun sekarang ini sedang menghidapi selesema. Bagaimanapun, saya tetap mementingkan penjagaan hidung, telinga dan tekak. Doakan kesihatan saya," ujarnya yang turut tampil dengan album 3 Suara gabungan bersama-sama Jaclyn Victor dan Ning Baizura.

Album tersebut akan dilancarkan pada 18 Februari ini di Solaris Dutamas. Kini, single pertama album tersebut berjudul Di Mana Di Mana telah diputarkan di radio.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain