suria

'Konsert Lawak' Himpun Penyanyi Dan Pelawak

Konsert Lawak yang julung kali diadakan berjaya menghimpunkan kira-kira 2,500 orang Johor Bahru yang memenuhi ruang stadium.
Konsert Lawak yang julung kali diadakan berjaya menghimpunkan kira-kira 2,500 orang Johor Bahru yang memenuhi ruang stadium.
Konsert Lawak yang julung kali diadakan berjaya menghimpunkan kira-kira 2,500 orang Johor Bahru yang memenuhi ruang stadium.

JOHOR BAHRU: Saluran komedi Astro Warna di bawah pakej Mustika melakar sejarah tersendiri dalam arena komedi tanah air apabila Konsert Lawak yang membariskan 30 pelawak baru dan lama buat julung kalinya itu berjaya menghimpunkan kira-kira 2,500 penonton yang memenuhi Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini, malam Sabtu lalu.

Konsert percuma yang diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggannya itu berlangsung selama tiga jam bermula 9 malam.

Diterajui oleh pasangan pengacara popular Johan dan Zizan, konsert tersebut dimeriahkan dengan aksi jenaka barisan pelawak seperti Datuk Aziz Satar, Saiful Apek, Yassin Senario, kumpulan Sepah, Maidin, Sathiya, Abon, Os, Radhi Khalid, Sobri AC, Farouk Hussein, Hamid Gurkha, Accapan, Angeline Tan, Enot, Didie Alias dan ramai lagi.

Mengulas tentang penganjuran konsert itu, Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata, penganjuran Konsert Lawak merupakan platform terbaik bagi saluran itu yang boleh didapati melalui pakej Mustika sebagai tanda penghargaan terhadap pelanggan selama ini.

"Sokongan yang tidak berbelah bahagi ini menjadi inspirasi dan menambahkan semangat kami untuk terus mengorak langkah dalam menghidangkan program-program terbaik yang dekat dengan jiwa penonton.

"Menerusi konsert ini juga, kami cuba mempromosikan Astro Warna sebagai saluran komedi tempatan 24 jam yang pertama. Ia juga berperanan sebagai pusat kepada pelawak tempatan dan akan membawakan program komedi kegemaran Melayu sepanjang zaman, sitkom tempatan terbaharu, drama komedi, sketsa dan persembahan komedi solo,” katanya.

Menyerikan lagi konsert tersebut, Astro turut menampilkan legenda rock Amy Search yang mendendangkan lagu Kerja Gila dan Rozana, selain aksi Adibah Noor, Rahmat Mega dan Fabulous Cat menerusi persembahan masing-masing.

Nizam turut menambah, pihaknya turut berasa teruja kerana dapat mengumpulkan nama-nama besar dalam arena lawak tanah air dalam satu pentas yang sama. Usaha yang pertama seumpamanya di Malaysia ini merupakan inisiatif Astro untuk mengiktiraf bakat mereka sebaris dengan selebriti lain dalam industri seni.

"Selain konsert ini, kami telah menyokong golongan pelawak ini dengan memberikan peluang menerusi pelbagai program komedi termasuk drama, sketsa dan persembahan solo seperti Anak Mami Mek Ani, Gila Gila dan Spontan.

"Kami juga menggunakan kelebihan para pelawak ini dengan melibatkan mereka dalam pelbagai promo televisyen, rancangan permainan dan penampilan istimewa dalam pelbagai promosi bergerak Astro,” katanya.

Rakaman konsert tersebut akan disiarkan menerusi Astro Warna pada Ahad ini pukul 2 petang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain