suria

Ning Baizura Sudah Rasa Terpinggir

Ning sanggup mengubah konsep muziknya demi peminat-peminat muzik tempatan.
Ning sanggup mengubah konsep muziknya demi peminat-peminat muzik tempatan.
Ning sanggup mengubah konsep muziknya demi peminat-peminat muzik tempatan.

PETALING JAYA:Penyanyi Ning Baizura Sheikh Hamzah, 35, kecewa penyanyi yang berpengalaman sepertinya kurang diberi perhatian oleh sebahagian penganjur-penganjur konsert.

Menurut Ning, ramai penyanyi yang sudah lebih 15 tahun bertapak dalam industri nyanyian merungut apabila penyanyi-penyanyi baru diberi perhatian lebih dalam pemilihan artis bagi sesebuah acara hiburan.

"Memang diakui, penyanyi-penyanyi yang sudah berpengalaman akan merungut hal-hal seperti ini sedangkan mereka mampu memberikan mutu persembahan yang hebat.

"Begitu juga dengan saya yang sudah 17 tahun dalam industri muzik, saya kecewa bila publisiti lebih diberikan kepada penyanyi-penyanyi baru. Faktor-faktor ini membuatkan penyanyi seperti kami tiada penaja.

"Bagaimanapun saya tidak salahkan penyanyi-penyanyi baru kerana kebanyakan mereka juga berbakat," katanya pada selepas persembahan konsert mini Ning yang diadakan di Celebrities Club, Solaris Mont Kiara, baru-baru ini.

Tambah Ning, memandangkan industri muzik didominasi oleh golong anak muda, Ning mengambil langkah dengan mengubah sedikit konsep nyanyian soprano yang sering ditampilkan sebelum ini kepada muzik yang lebih sesuai pada masa kini.

"Walaupun kecewa kerana kurang diberi publisiti atau perhatian, saya tidak akan duduk diam. Sebaliknya saya akan mengolah semula konsep muzik yang ditonjolkan sebelum ini.

"Memang dari segi persembahan untuk majlis-majlis korporat saya tidak ada sebarang masalah, tapi saya juga mahu berhubungan dengan orang ramai menerusi konsert yang dianjurkan.

"Justeru itu saya akan tampil lebih muda untuk menarik peminat-peminat remaja pula dengan menampilkan sebuah album baru, Dewa, yang akan keluar di pasaran hujung bulan ini.

"Walau bagaimanapun, saya memerlukan sebuah strategi pemasaran yang bagus untuk memberi publisiti kepada diri serta album baru saya. Cuma masalahnya sekarang ialah untuk mendapatkan penaja," ujarnya yang akan mengadakan konsert jelajah mini tidak lama lagi sebelum sampai ke konsert kemuncaknya yang akan diadakan pada Julai ini di Istana Budaya.

Sementara itu, mengenai Dewa yang bermaksud 'cahaya' dalam bahasa sanskrit itu, ia diterbitkan oleh Ning bersama komposer Audi Mok menampilkan sebanyak lapan buah lagu dengan kos lebih daripada RM100,000.

Lagu-lagu yang berkonsep balada, pop, elektro dan dance itu merupakan perubahan ketara Ning sepanjang 17 tahun bergelar penyanyi.

Antara lagu-lagu yang sudah pun dikeudarakan di radio ialah Mama Papa dan Raksasa.

Selain itu album Dewa turut menampilkan tujuh lagu lain seperti Sampai, Bila, Pencarian, Alhamdulillah, Supernova, Propagandamu dan Aku Bukan Dewa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain