suria

RTM Terbit Rancangan Realiti Mulai 14 Januari

Mas Idayu turut terlibat dalam program tersebut
Mas Idayu turut terlibat dalam program tersebut
Mas Idayu turut terlibat dalam program tersebut

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan rancangan realiti "Tiada Lama Tiada Baru" mulai 14 Januari ini untuk mencungkil bakat baru dalam bidang nyanyian dan mencari muka iras artis.

Program sejam itu yang akan disiarkan setiap hari Jumaat sehingga 15 April ini akan menyaksikan persaingan oleh 61 peserta iaitu 39 dalam bidang nyanyian manakala selebihnya dalam kategori iras muka artis.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya berkata program itu akan melibatkan artis lama yang akan bertindak sebagai mentor kepada peserta.

"Jasa pejuang seni terdahulu perlu diberi pengiktirafan dengan memberi mereka peluang untuk terlibat sama dalam industri ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan rancangan berkenaan di sini, Isnin.

Seramai 11 artis ikon termasuk Datuk Jeffrydin, Mas Idayu, Noraniza Idris, Datuk David Arumugam, Datuk DJ Dave, Hail Amir dan Uji Rashid akan terlibat sebagai mentor dalam program berkenaan.

Lima anugerah utama dalam kategori nyanyian ditawarkan dalam program itu iaitu bintang terbaik, persembahan terbaik, bintang paling popular, bintang contoh dan ikon paling popular manakala kategori muka iras artis pula bagi mencari pemenang utama, naib johan dan tempat ketiga. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain