suria

Kumpulan Eve Gugup Kerana Izwan Pilus

Eve dianggotai oleh Asila Osmera (kiri), Evie Roslan (tengah) dan Yanie Hassan. - Foto oleh RAYMOND OOI
Eve dianggotai oleh Asila Osmera (kiri), Evie Roslan (tengah) dan Yanie Hassan. - Foto oleh RAYMOND OOI
Eve dianggotai oleh Asila Osmera (kiri), Evie Roslan (tengah) dan Yanie Hassan. - Foto oleh RAYMOND OOI

PETALING JAYA: Jika sebut nama Eve, pasti ramai yang tertanya-tanya siapakah mereka kerana penyanyi berkumpulan dari Singapura ini masih lagi baru dalam industri hiburan.

Sebab itu tiga orang penyanyi wanita yang memperkenalkan diri mereka sebagai Yanie Hassan, Asila Osmera dan Evie Roslan ini tidak malu mengaku terpaksa menumpang populariti penyanyi Izwan Pilus.

Ini kerana, mereka bakal tampil dengan single duet berjudul Tiba Tiba Cinta yang akan dimainkan di corong radio pada awal Januari depan.

Eve dipilih untuk menggantikan penyanyi Maiya Rahman, juga dari Singapura yang tidak dapat berduet dengan Izwan kerana mempunyai komitmen lain.

Bagaimanapun, Izwan menepiskan isu siapa tumpang siapa sebaliknya menganggap kehadiran Eve sebagai suatu langkah baru untuk memajukan diri mereka dalam bidang muzik.

Bercerita tentang pengalaman menarik sepanjang menjalani rakaman lagu tersebut di studio milik AG Coco iaitu Kamar Seni di Taman Tasik Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur pada 9 Disember lalu, Eve akui terpaksa melalui rakaman lagu yang paling mencabar setakat ini.

“Kami agak gugup apabila mendapat tahu pasangan duet kami adalah Izwan Pilus yang terkenal di Singapura dan Malaysia.

“Selain itu, lagu yang berentak retro dan rancak ini agak berbeza kerana menampilkan nyanyian tiga wanita dan seorang lelaki. Lebih-lebih lagi kami mendapat guru vokal yang tegas dan berbakat seperti Farith Taib.

“Lagu ini mempunyai banyak bahagian harmoni dan belum pernah lagi dalam rekod peribadi kami menyanyikan lagu seperti ini,” kata Eve.

Eve ditubuhkan pada tahun lalu selepas mereka muncul dalam program realiti nyanyian berjudul Anugerah di Singapura pada tahun 2009.

Dari bergerak solo, mereka menubuhkan kumpulan selepas itu muncul dengan single pertama berjudul Wanita Istimewa (duet dengan kumpulan B8 dari Singapura).

“Kami menghasilkan lagu-lagu bertemakan wanita. Sebab itu kami memilih nama Eve untuk kumpulan ini yang bermaksud hawa.

“Lagu Wanita Istimewa dihasilkan untuk tribute kepada pengidap barah pangkal rahim. Selain itu, kami turut menghasilkan lagu kedua berjudul Super Girl,” ujar Eve lagi.

Artikel Berikut

Artikel Lain