suria

‘Music Mapping’ Tema AJL25

Yuna mendapat giliran pertama untuk membuat persembahan di AJL25 pada 9 Januari 2011.
Yuna mendapat giliran pertama untuk membuat persembahan di AJL25 pada 9 Januari 2011.
Yuna mendapat giliran pertama untuk membuat persembahan di AJL25 pada 9 Januari 2011.

KUALA LUMPUR: Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25 yang akan berlangsung pada 9 Januari depan akan memperkenalkan konsep Music Mapping atau pemetaan muzik.

Acara berkenaan akan di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini dan disiarkan secara langsung di TV3, pukul 9 malam.

Bagi merealisasikan konsep tersebut, penerbitnya, Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) berkata, pihaknya akan menggunakan teknologi baru iaitu Light Emitting Diode (LED) atau diod pemancar cahaya bagi menyampaikan perkembangan dan perjalanan arus muzik dan irama dalam industri muzik tempatan.

“Kami menggunakan sebanyak 600 panel LED di lantai pentas AJL25 secara menegak dan melintang. Konsep ini direka oleh Rafi Mustapha.

“Pentas terbahagi kepada dua bahagian bagi memudahkan persiapan setiap band yang membuat persembahan mengikut giliran masing-masing.

“Sementara pemain muzik orkestra akan diletakkan di bahagian atas. Kita juga menggunakan 13 kamera untuk merakam persembahan pada malam itu,” kata Gbam yang berbincang dengan Rafi tentang konsep tersebut sejak bulan Jun lalu.

Untuk mendapatkan ilham serta idea baru yang lebih segar, Gbam yang kali kedua menerima tanggungjawab sebagai penerbit AJL dihantar ke beberapa negara luar iaitu New York, London dan Bangkok untuk mencari kelainan berkenaan.

Sementara itu AJL25 kali ini menyenaraikan 14 buah lagu yang akan dipersembahkan oleh 13 finalis solo dan berkumpulan.

Lagu yang akan bertanding ialah Cinta Sempurna nyanyian Yuna dan ciptaan dia sendiri, Berlari (Tomok/ Tomok & Shazee Ishak/ Tomok), Pelita (A.P.I/ Loque), Kebahagiaan Dalam Perpisahan (Shahir/ Edry Abdul Halim), Drama King (Meet Uncle Hussain & Black/ Taja/ Tun Teja), Noktah Cinta (Hafiz/ Ajai/ Sheikh Qalam), Tolong Ingatkan Aku (Ana Raffali).

Turut terpilih Selamat Malam (Faizal Tahir/ Audi Mok/ Faizal Tahir), Ku Ada Kamu (Adira/ Edry Abdul Halim), Extravaganza (Bunkface/ Sam Bunkface/ Bunkface), Sofea Jane (Black/ Sham Kamikaze & Iswandy/ Farril), Hanyut (Faizal Tahir/ Audi Mok/ Faizal Tahir), Jahat (Stacy/ Edry Abdul Halim) dan Mencari Konklusi (Hujan/ Noh Hujan).

Juara AJL25 bakal memenangi trofi dan wang tunai RM35,000, naib juara (trofi & wang tunai RM15,000), tempat ketiga (trofi & wang tunai RM12,000), persembahan terbaik (trofi & wang tunai RM10,000) dan vokal terbaik (trofi & wang tunai RM10,000).

Seperti tahun sebelum ini, penjurian dilakukan berdasarkan markah sebanyak 70 peratus yang diadili terlebih awal manakala 30 peratus lagi melalui persembahan pada malam kemuncak.

Lebih mewarnai AJL25, seramai enam penyanyi “otai” yang pernah terlibat dengan AJL bermula tahun 1986 akan memberikan persembahan pembukaan dan interlud.

Mereka adalah M.Nasir, Nash, Francissca Peter, Ziana Zain, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza. AJL25 mengundang penyanyi-penyanyi ini sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

Debaran AJL25 bermula seawal 7.30 malam dan dibawakan secara langsung melalui laman web www.tv3.com.my/ajl25.

Untuk ke sekian kalinya, malam kemuncak ini bakal menggandingkan pengacara popular Cheryl Samad, Faizal Ismail dan Ally Iskandar.

Bagi menghangatkan AJL25, TV3 turut mengadakan persembahan jelajah di Pasir Gudang, Johor pada 26 Disember ini yang bakal menyaksikan lapan finalis akan turut serta termasuk penyanyi Nash dan kumpulan Mega.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain