suria

Rais Saran Penggiat Seni Kreatif Guna Peruntukan RM425 Juta

Rais (kiri) berbual dengan U-Wei selepas menyaksikan pra-tonton secara tertutup filem "Hanyut" di Finas, semalam.
Rais (kiri) berbual dengan U-Wei selepas menyaksikan pra-tonton secara tertutup filem
Rais (kiri) berbual dengan U-Wei selepas menyaksikan pra-tonton secara tertutup filem "Hanyut" di Finas, semalam.

KUALA LUMPUR: Penggiat industri kreatif di saran mengambil peluang daripada peruntukan RM425 juta yang disediakan kerajaan bagi mempertingkat serta menghasilkan karya seni tempatan yang berkualiti tinggi dan boleh diterima di peringkat antarabangsa.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata untuk tujuan itu, kementerian akan memperhebatkan usaha mempromosi dan memberi penerangan mengenai dana tersebut kepada penggiat industri kreatif agar tujuan dan faedah daripada peruntukan itu dapat difahami.

Beliau berkata daripada RM200 juta yang diperuntukkan pada Belanjawan 2010, hanya RM75 juta sahaja digunakan setakat ini.

Oleh itu, dengan penambahan sebanyak RM200 juta lagi dalam Belanjawan 2011 berserta RM100 juta daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta baki Belanjawan 2010 sebanyak RM125 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM425 juta, maka penerangan yang meluas mengenainya perlu diadakan, katanya.

"Saya fikir mereka (pemain industri) berminat dengan dana tersebut tetapi penerangan mengenai dana ini tidak dibuat dengan menyeluruh. "Jadi, saya telah meminta beberapa program dibuat supaya penerangan mengenai dana ini dapat diperjelaskan dengan lebih meluas kepada semua penggiat industri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pra-tonton filem "Hanyut" di studio Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini, Khamis.

Rais berkata pihaknya menggalakkan lebih ramai penggiat industri kreatif memohon menggunakan dana tersebut kerana kadar faedahnya amat rendah, sejajar dengan usaha kerajaan membantu mempergiatkan industri perfileman negara.

Mengenai dana SKMM itu, beliau berkata, dana yang baru diluluskan itu bukan berbentuk pinjaman sebaliknya lebih kepada sumbangan dan bantuan yang tidak hanya dikhususkan kepada industri perfileman tetapi juga untuk produksi lain yang berbentuk kreatif dan berkaitan dengan media, animasi, teknologi serta berkaitan komunikasi.

Dana Industri Kreatif yang dilancarkan Disember tahun lepas hanya mengenakan kadar faedah dengan nisbah antara dua hingga empat peratus bagi setiap pinjaman manakala Bank Simpanan Nasional (BSN) diberi mandat sebagai institusi pemberi pinjaman yang akan berinteraksi dengan penggiat seni kreatif sekali gus mengurus, mentadbir dan menguatkuasakan apa-apa peraturan berkaitan dengan dana berkenaan.

Dana yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan aktiviti industri kreatif seperti penerbitan filem, muzik, animasi, pembangunan dan aktiviti berkaitan, adalah antara peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2010 pada Oktober tahun lepas. Mengulas mengenai filem "Hanyut" yang diarahkan oleh U-Wei Saari, Rais berkata sebanyak RM5 juta telah dipinjamkan kepada penerbitan filem itu melalui Dana Industri Kreatif.

Ini menjadikan jumlah keseluruhannya, sebanyak 24 syarikat telah membuat pinjaman setakat ini, katanya.

Rais berkata jumlah pinjaman sebanyak RM5 juta untuk filem “Hanyut” itu sememangnya kecil jika dibandingkan dengan peruntukan yang diperoleh oleh penerbit filem Hollywood, tetapi beliau yakin jumlah itu memadai untuk meletakkan filem arahan U-Wei itu di tahap yang dapat diterima dari segi penceritaan dan teknik pembikinannya. "Harapan kita ialah supaya filem seperti ini dapat melonjakkan kepimpinan filem tanah air serta tidak lagi berada di tahap pertengahan di mana masyarakat dunia tidak tertarik dengannya,"katanya.

"Hanyut", filem epik yang diadaptasi daripada novel Joseph Conrad berjudul "Almayer Folly", berkisar tentang Almayer, seorang pedagang Inggeris yang berjuang untuk meneruskan kehidupan di Malaysia pada abad ke-19.

Filem tersebut menampilkan pelakon Hollywood Chris Vance, yang terkenal sebagai "Whistler" dalam drama TV popular antarabangsa "Prison Break" bersama beberapa pelakon terkenal tanah air seperti Diana Danielle, Sofia Jane dan Khalid Rashid. Dalam filem "Hanyut", Vance melakonkan watak utama sebagai "Kasper Almayer". – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain