suria

Pengarah Filem Terkejut 'Ngangkung' Kutip RM3.6 juta

Pengarah filem Ngangkung, Ismail Hasim atau Bob
Pengarah filem Ngangkung, Ismail Hasim atau Bob
Pengarah filem Ngangkung, Ismail Hasim atau Bob

PETALING JAYA: Pengarah filem Ngangkung, Ismail Hashim atau Bob tidak menyangka filem tersebut mendapat sambutan luar biasa apabila kutipannya mencecah RM3.6 juta mengikut kiraan yang dibuat oleh pihak MiG Production selepas seminggu ditayangkan bermula 25 November lalu.

Bob yang dihubungi mStar Online, Rabu, berkata dia terkejut sentuhan sulungnya itu mendapat sambutan yang sangat baik daripada penonton berbanding filem Melayu lain yang ditayangkan sejak November lalu.

"Saya tidak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaan saya apabila dimaklumkan tentang prestasi baik filem ini di pawagam. Sebagai orang baru yang pertama kali mengarah filem sudah tentu saya bangga, teruja dan bersyukur kerana filem ini diterima baik oleh penonton.

"Namun, saya juga berdebar dan risau dengan jangkaan daripada orang ramai terhadap produk-produk arahan saya yang akan datang," katanya.

Tambah Bob, kutipan yang memberangsangkan itu juga menjadi penanda aras buatnya untuk terus bekerja keras dalam kerja-kerja pengarahan filem atau drama yang akan datang.

"Sambutan memberangsangkan ini adalah penanda aras kepada saya secara peribadi untuk menghasilkan mutu kerja yang lebih baik dari masa ke semasa. Ia juga merupakan satu cabaran untuk saya mengekalkan momentum kejayaan ini pada produk-produk yang akan datang.

"Apa pun, saya harus berterima kasih di atas peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh penerbit David Teo untuk menerajui filem ini.

"Kutipan yang baik ini tidak akan menjadi kenyataan jika bukan kerana skrip dan pelakon yang bagus serta jentera promosi MiG yang berkesan," katanya.

Bob merupakan pengarah kelima yang diperkenalkan oleh produksi itu di bawah Skim 10 Pengarah Muda MiG.

Dia yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC) untuk siaran Astro Warna itu bakal mengarahkan filem seterusnya pada hujung tahun ini.

"Selain sibuk di lokasi penggambaran siri JPBC untuk menghabiskan baki 13 episod lagi, saya juga akan mengarahkan filem seterusnya pada hujung tahun ini. Skrip, konsep dan judulnya masih dalam perbincangan tetapi berkemungkinan filem seram juga," katanya.

Mengikut rekod Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sehingga Selasa lalu, filem berkenaan mencecah RM2.36 juta.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain