suria

Permohonan Bekas Isteri Hattan Ditangguh Januari

PETALING JAYA: Bekas isteri penyanyi Hattan, Arianie Mohd Abidin diberi peluang untuk menyelesaikan perjanjian dan syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Insolvensi sebelum permohonannya untuk menuntut mutaah dan nafkah edah didengar di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Hakim Syarie, Ghazali Ahmad membenarkan kes tersebut ditangguhkan kepada 25 Januari depan bagi membolehkan Arianie yang merupakan seorang pramugari menyelesaikan semua syarat tersebut bagi membolehkan dia melantik peguam syarie.

Arianie, 39, perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Insolvensi sebelum meneruskan kes ekoran namanya telah disenarai hitamkan.

Bagaimanapun, penangguhan itu terdahulu dibantah oleh peguam syarie Mohd Roshdan Sujak Rafie yang mewakili Hattan, atas alasan Arianie selaku plaintif telah menggunakan alasan yang sama untuk mendapatkan penangguhan sebelum ini.

"Masa yang diberikan kepada plaintif untuk menyelesaikan perkara tersebut adalah selama tujuh bulan. Namun, sehingga kini ia tidak pernah diselesaikan.

"Ini jelas tidak menunjukkan kesungguhan plaintif untuk menjalankan kes ini. Saya mohon kes dibuang kerana plaintif tidak bersungguh-sungguh untuk meneruskan kes," katanya.

Mohd Roshdan menambah, Hattan juga perlu berhadapan dengan kes mahkamah setiap kali kes ditangguhkan.

Peguam Syarie Hazirah Othman membantah dan mengatakan Arianie tidak akan melantik dirinya jika tidak serius untuk meneruskan kes tersebut.

"Saya sendiri tidak akan bersetuju untuk mewakili seseorang jika pelanggan tidak serius," katanya dan menambah, Arianie sedang dalam proses mencari penjamin yang layak dan komited.

Prosiding mahkamah pada Rabu, hanya diwakili oleh peguam-peguam syarie.

Permohonan mutaah dan nafkah edah difailkan selepas Hattan yang popular dengan lagu Rendang Tak Berbuah dan Arianie sah berpisah dengan talak satu pada 10 Mac 2005.

Semasa itu, Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabuddin, 46, mengesahkan lafaz cerai yang dilafazkan di rumah kediamannya di nombor 29, Tropicana Golf dan Country Resort pada malam 31 Disember 2004.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 17 Disember 1996 dan dikurniakan seorang anak, Adam Eiman, 13, yang diletakkan di bawah jagaan Hattan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain