suria

Reputasi Ezuwan Terjejas Kerana Diana Danielle & Raja Farah

Ezuwan Ismail
Ezuwan Ismail
Ezuwan Ismail

PEREKA fesyen Ezuwan Ismail bukan mahu melatah tetapi dia merasakan perlu memberi penjelasan apabila isu “baju gemuk” yang hangat diperkatakan sekarang ini telah menyebabkan reputasinya semakin terjejas.

Semuanya bermula pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) yang berlangsung pada 24 Oktober lalu apabila orang ramai memperkatakan bentuk badan Raja Farah kelihatan pelik kerana dia dilihat semakin berisi ketika menjadi pengacara untuk acara karpet merah festival itu.

Alasan yang diberikan Raja Farah, pakaian berkenaan membuatkan dia kelihatan “gemuk” sedangkan berat badannya tidaklah naik secara mendadak.

Sebaliknya Ezuwan kepada mStar Online sebelum ini menjelaskan, dia diminta menghasilkan baju dalam tempoh yang singkat atas permintaan Raja Farah sendiri.

Tidak cukup dengan insiden itu, tiba-tiba pelakon Diana Danielle turut menolak untuk memakai pakaian rekaan Ezuwan dengan alasan serupa sehingga ia turut “dicuit” di media. Tampil membuat pengakuan secara eksklusif di Mingguan mStar, Ezuwan secara jujur mengakui reputasinya sebagai pereka fesyen yang baru meningkat naik terjejas akibat insiden-insiden kecil itu.

Lebih parah apabila perkara itu mengaitkan nama artis terkenal tanah air yang boleh memberi pengaruh besar kepada pelanggan-pelanggannya.

“Saya terima kritikan yang diberi dengan hati terbuka. Tapi saya kecewa kenyataan mereka tentang baju saya yang membuat mereka nampak gemuk dan berisi telah menyebabkan kredibiliti dan periuk nasi saya terjejas.

“Bukannya apa, kenyataan artis itu telah memberi implikasi buruk kepada saya sehinggalah mempengaruhi kepercayaan para pelanggan.

“Saya bukannya malu dengan kejadian itu dan saya juga tidak menafikan menghasilkan pakaian untuk mereka tetapi insiden berkenaan ternyata mempengaruhi perniagaan saya,” katanya.

Jelas Ezuwan, tidak timbul masalah sekiranya para artis atau sesiapa sahaja enggan memakai pakaian rekaannya tetapi mereka harus berhati-hati untuk memberi sebarang kenyataan selain perlu melihat apakah masalah sebenar yang berlaku.

Menurut Ezuwan, kerjasama yang diberikan kepada artis berkenaan selama ini bagaikan tidak dihargai. Malah dia turut kesal niat murninya menyediakan busana untuk diperagakan di majlis-majlis tertentu pula dipandang sebelah mata.

“Sebagai pereka fesyen sudah tentu saya mahu sesiapa yang memakai pakaian rekaan saya kelihatan cantik. Selalunya sebelum membuat baju, saya dan pelanggan akan bertemu dan berbincang beberapa kali sebelum pakaian berkenaan dijahit.

“Saya beri peluang kepada mereka untuk beri pandangan dan idea bagaimana untuk menjadikan mereka lebih cantik apabila di pentas ataupun di televisyen.

“Bagaimanapun kalau mereka rasa tak sesuai dengan idea dan pandangan yang dilontarkan, mereka boleh membuat keputusan untuk tidak menggunakan pakaian rekaan saya.

“Apa yang saya sedih, ada sesetengah artis sanggup memakai pakaian yang diberikan dan selepas itu memberi kritikan sehingga menuduh pakaian saya menjadi punca mereka kelihatan bertambah “buruk” dan ia benar-benar menjatuhkan maruah saya,” katanya.

Jelas Ezuwan, masalah berkenaan menjadi bertambah rumit apabila Norsiah Ramli membuat kenyataan menerusi laman sosial Facebook mengatakan sebab-sebab tertentu kenapa anaknya, Diana Danielle enggan memakai pakaian rekaan Ezuwan.

Sedangkan ada sebab-sebab tertentu Diana enggan memakai pakaian dari butiknya itu, bukan disebabkan bentuk rekaan yang dihasilkan.

Kata Ezuwan, tuduhan yang dilemparkan oleh kedua-dua artis itu hanyalah untuk menutup kelemahan mereka selain mengelak daripada menjadi bahan kritikan pihak media.

Malangnya, tindakan tersebut menyebabkan Ezuwan terkena tempias yang sukar untuk dihapuskan.

“Jika saya yang diperlekehkan, saya tidak kisah tetapi jika mereka menganggap pakaian saya buruk saya agak berkecil hati kerana ia mempengaruhi pelanggan-pelanggan saya yang lain. Sedangkan artis yang memakai pakaian saya tidak pun membeli pakaian itu sebaliknya minta ditaja.

“Sekarang ini bila ada pelanggan yang mahu buat tempahan pasti akan menyindir saya “berisi” dan “gemuk” sebagai bahan lawak. Malah apa yang saya tahu ada sesetengah artis sendiri menjadi takut apabila menyebut nama saya sebagai penaja pakaian mereka untuk acara-acara tertentu,” katanya kesal.

Dalam pada itu, Ezuwan memberitahu dia tidak menyalahkan Diana Danielle dan Raja Farah seratus peratus dalam hal tersebut tetapi peristiwa itu memberi pengajaran buatnya untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Banyak yang saya belajar dari insiden yang terjadi. Selepas ini saya lebih berhati-hati untuk memilih siapa yang layak memakai pakaian rekaan saya.

“Saya mahu mereka yang akan mengayakan pakaian saya adalah di kalangan mereka yang menghargai hasil karya saya. Cukuplah saya yang beria-ia menghasilkan baju secara percuma untuk sesetengah artis selama ini tidak dihargai,” kata Ezuwan.

Mahu jernihkan keadaan - Norsiah

Sementara itu, ibu kepada Diana Danielle, Norsiah Ramli ketika dihubungi menganggap penjelasannya di Facebook tentang pakaian rekaan Ezuwan adalah bagi menjernihkan keadaan.

Niat sebenar Norsiah bukan untuk menutup periuk nasi Ezuwan yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

“Hubungan saya, Diana dan Ezuwan baik. Tujuan saya memberi komen di Facebook cuma untuk menjelaskan perkara sebenar dan bukan mahu memanjangkan cerita. Saya menganggap Ezuwan seorang pereka fesyen yang mempunyai masa depan yang sangat cerah.

“Cuma pada hari itu sahaja, rekaannya tidak sesuai dengan Diana. Bagaimanapun, saya masih mengharapkan kerjasama daripadanya. Lagi pula industri hiburan ini kecil sahaja tidak elok untuk bermasam muka atau bergaduh,” katanya.

Tiada niat tunding jari - Raja Farah

Manakala bagi Raja Farah, dia tidak berniat untuk menuding jari kepada Ezuwan tentang baju yang diperagakan. Dia juga akui perkara tersebut disebabkan kesuntukan waktu.

“Saya tidak pernah salahkan dia kerana saya faham situasi dia ketika itu. Saya juga masih mahu bekerjasama dengan dia untuk masa akan datang,” jelasnya ringkas.

* Artikel ini dipetik dari Mingguan mStar yang diterbitkan setiap Ahad bersama Sunday Star sekitar Lembah Kelang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain