suria

Keluarga Bimbang Gosip Percintaan Shahir

Shahir ketika persembahan di Separuh Akhir Muzik Muzik 25
Shahir ketika persembahan di Separuh Akhir Muzik Muzik 25
Shahir ketika persembahan di Separuh Akhir Muzik Muzik 25

PETALING JAYA: Juara Akademi Fantasia musim ke lapan (AF8), Ahmad Shahir Zawawi, 22, mengakui gosip percintaannya dengan pelakon jelita Rozita Che Wan menimbulkan rasa bimbang keluarganya.

Bagaimanapun, menurut Shahir, keluarga sudah memahami situasi sebenar yang berlaku dan hanya memberikan nasihat agar tidak terlalu gusar dengan khabar angin.

“Ibu saya tahu fasal gosip ini. Dia beri nasihat agar saya elakkan dari gosip yang boleh menimbulkan fitnah. Mereka juga percayakan saya berbanding khabar angin tersebut.

“Tentang Rozita, ibu saya tidak pernah campur atau beri sebarang komen, dia hanya beri nasihat secara umum sahaja. Lagi pula saya tidak pernah berbincang mengenai perempuan dengan keluarga sejak kecil lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Shahir yang beberapa kali menafikan perkara itu menganggap Rozita sebagai seorang artis yang perlu dicontohi.

“Saya menghormati dia sebagai artis lebih senior. Dia pandai bawa diri serta mempunyai kelasnya tersendiri dan bersih dari gosip-gosip hangat,” ujar Shahir yang pernah bekerjasama dengan pelakon tersebut dalam drama Lawaknya Raya terbitan Astro.

Selain itu, dia juga menafikan khabar angin memiliki kereta-kereta mewah selepas bergelar artis.

"Tentang kereta mewah itu sebenarnya bukan kepunyaan saya, saya pinjam daripada saudara yang mana saya tinggal bersama mereka.

"Sejak kemalangan selepas raya Aidilfitri lalu, saya tiada kenderaan untuk pergi kerja dan mereka tawarkan supaya gunakan sahaja kereta yang ada di rumah itu. Saya hanya tumpang kesenangan mereka sahaja," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain