suria

Pesona Kevin Cheng Pukau Penonton

Kevin Cheng menghiburkan penonton dengan persembahan nyanyiannya.
Kevin Cheng menghiburkan penonton dengan persembahan nyanyiannya.
Kevin Cheng menghiburkan penonton dengan persembahan nyanyiannya.

PETALING JAYA: Pesona artis popular Hong Kong, Kevin Cheng berjaya memukau 22,000 penonton yang menghadiri Karnival Yuan ntv7 di SJK (C) Jinjang Selatan, Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.

Hujan lebat pada hari Sabtu tidak mematahkan semangat orang ramai untuk terus menyaksikan persembahan daripada artis terkenal ini. Kevin yang jatuh sakit sebelum datang ke Malaysia, mempersembahkan dua buah lagu kepada peminatnya.

“Saya sering berasa terharu ketika berada di Malaysia kerana adanya peminat yang amat menyayangi saya. Saya berharap untuk kembali ke negara ini bila keadaan membenarkan,” ujar Kevin.

Turut merasmikan karnival itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Para penduduk, ibu bapa, dan kanak-kanak menyerbu masuk ke dalam dewan sekolah seawal jam 8 pagi pada hari Sabtu agar dapat menyaksikan persembahan daripada artis kegemaran mereka.

"Saya dan teman-teman berada di sini dari jam 8 pagi untuk bertemu idola kegemaran kami, Kevin Cheng. Walaupun Kevin telah mencukur rambutnya, kami masih rasa dia kelihatan segak.

“Saya rasa acara komuniti ini merupakan cara yang bijak bagi ntv7 untuk menghargai semua penonton setianya. Saya pasti akan kembali jika ntv7 bercadang untuk membawa kembali Karnival Yuan ke Jinjang pada tahun depan,” kata Ng Yen Ling berusia 15 tahun.

Pihak ntv7 menyediakan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga seperti permainan, pemeriksaan kesihatan, cabutan bertuah, aktiviti bida, persembahan yang menawarkan pelbagai hiburan dan sajian makanan yang sedap.

Barang-barang yang dibida termasuklah kamera, sistem teater rumah dan pencetak.

Selain itu, sebanyak enam pertandingan berlangsung di halaman sekolah, termasuklah pertandingan mewarna, bola keranjang, makan, menari dan karaoke.

Di antara program yang menarik pada hari pertama termasuklah persembahan oleh Beautiful Gate dan Mastro World Class Harmonica Ensemble dan sesi bertemu bersama hos dari rancangan Finding Angels dan Project Sunshine iaitu Chan Wei Wei dan Tiang Kah Chee.

Pengunjung turut dihibur oleh barisan pelakon dan hos ntv7 seperti Mayjune (Women’s Zone) serta William San dan Hishiko Woo (Shout Out! It’s Show Time!).

Karnival Yuan juga telah mengadakan Fun Ride di sekitar kawasan Jinjang pada hari Ahad, jam 8 pagi, yang berjaya menarik lebih daripada 100 peserta.

Karnival dua hari ini yang bermula pada jam 9 pagi, ditaja oleh Elken sebagai penaja utama dan Celcom sebagai penaja sampingan. Berganding bahu menjayakan karnival ini bersama ntv7 ialah rakan media dari stesen radio oneFM dan akhbar Guang Ming Daily, serta Batu District Chinese School Development Associations.

Artikel Berikut

Artikel Lain