suria

Rudy Kini Milik Red FM

PETALING JAYA: Stesen Radio Red FM bakal disertai oleh juruhebah popular, Rudy atau nama sebenarnya Harun Sharudin Sufian bagi mengukuhkan lagi stesen radio tersebut.

Rudy yang sebelum ini popular menerusi menerusi segmen pagi, Morning Crew Breakfast show bersama deejay JJ do Hitz FM akan menyertai Red FM bermula 15 November ini.

Menurut Rudy, dia terbuka hati untuk menyertai keluarga Red FM kerana mahukan cabaran.

“Saya seorang yang sangat sukakan sesuatu benda baru. Menyertai keluarga Red FM merupakan satu cabaran buat saya. Red FM telah membuka jalan untuk saya buat apa saja yang saya gemari dan inginkan selama ini. Jadi, tiada sebab mengapa perlu saya tolak peluang yang diberikan kepada saya,” katanya.

Tambahnya, dia berani menjanjikan kepada para pendengar untuk membawa satu kelainan yang tentunya amat berbeza dengan rancangan pagi di stesen-stesen radio lain.

Antaranya satu persembahan yang penuh dengan “gila-gila” serta kejutan luar biasa yang sukar untuk dijangkakan.

“Saya yakin bermula tarikh itu, pendengar akan dapat mendengar satu perubahan pada waktu pagi di Red FM,” katannya yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Sumber Manusia dari Swinburne University of Technology, Melbourne Australia.

Menurut keputusan terbaru kaji selidik radio AC Nielsen untuk suku kedua tahun ini, Red FM menunjukkan peningkatan jumlah pendengar dalam lima kajian yang dibuat sejak tahun 2008 dan mencatatkan 35.4 peratus dari tahun ke tahun.

Perbandingan daripada enam bulan terakhir antara Red FM dengan stesen radio Inggeris lain telah menunjukkan peningkatan sebanyak 24 peratus peningkatan tertinggi direkodkan untuk tempoh ini.

Segmen pagi, petang dan malam di Red FM juga mencatat peningkatan tahun ke tahun yang tertinggi antara segmen masing-masing sebanyak 102 peratus, 83.3 peratus dan 81 peratus.

Jumlah masa mendengar Red FM telah meningkat sebanyak 7.29 jam, meletakkan tempat kedua sebagai radio berbahasa Inggeris yang paling lama didengari dan digemari oleh kalangan remaja.

Peningkatan ini tentunya akan berada pada tahap yang lebih baik sekiranya Rudy berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai deejay popular dalam menarik lebih ramai pendengar.

Dalam masa yang sama pihak Red FM sendiri telah mengatur strategi apabila bakal mengadakan dua peraduan besar buat pendengar setia stesen radio itu.

Peraduan pertama apabila memberi peluang kepada semua pendengar setia untuk memenangi sejumlah wang tunai melebihi RM18,000 apabila Red FM menganjurkan peraduan yang mana pendengar berpeluang untuk menjadi salah seorang penonton yang dapat melihat Justin Bieber beraksi di atas pentas secara langsung di Miami dalam peraduan “Red FM’s Bieber Fever”.

Pendengar yang bertuah akan diberikan tiket penerbangan, penginapan dan juga tiket masuk ke konsert itu nanti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain