suria

Mamat Khalid Kecewa "Estet" Tidak Raih Anugerah Utama

Mamat Khalid tetap akan menghasilkan filem berbentuk kepelbagaian kaum.
Mamat Khalid tetap akan menghasilkan filem berbentuk kepelbagaian kaum.
Mamat Khalid tetap akan menghasilkan filem berbentuk kepelbagaian kaum.

PETALING JAYA: Pengarah filem Estet, Mamat Khalid agak kecewa apabila filem arahannya iaitu Estet gagal mendapat anugerah penting terutamanya katogeri Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke 23 (FFM23) yang berlangsung Ahad lalu.

Mamat menganggap filemnya seperti tidak disokong oleh industri perfileman tempatan sedangkan filem itu mencerminkan nilai 1Malaysia.

Beritahu Mamat, tujuannya menghasilkan Estet adalah untuk menyahut seruan kerajaan supaya pembikin filem dapat membentuk sifat kenegaraan di kalangan rakyat untuk menyatukan pelbagai bangsa di Malaysia.

Namun ia seperti tidak disokong apabila Estet sekadar meraih Anugerah Khas Juri pada malam itu dan Pelakon Harapan Lelaki Terbaik (Shashi Taran) bagi Anugerah Cipta yang diadakan empat hari sebelum acara kemuncak itu.

"Ketika pengumuman pemenang bagi setiap kategori, saya dapat rasa yang Estet tiada harapan untuk menang.

"Saya tak mahu dilihat seperti sedang kegusaran. Tapi bila Estet langsung tidak mendapat tempat, maknanya industri tidak menyokong filem tersebut.

"Nak kata saya kecewa, tidak. Tapi saya keliru kerana saya sangkakan filem sebegini yang industri nak raikan. Sebaliknya ia dilepas pandang seolah-olah filem Estet tidak wujud. Mungkin arah tuju industri dah lain.

"Baru sekarang saya faham apa yang arwah Yasmin Ahmad lalui. Jangan salah faham, saya buat filem bukan kerana mahu menang anugerah. Mungkin silap diri sendiri kerana saya ingat, filem seperti Estet yang industri kita mahu," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Tambah Mamat, memandangkan Estet yang bakal ditayangkan pada 4 November ini gagal meraih filem terbaik, pengarah itu perlu membuat strategi untuk mempromosikan karyanya itu sebaik mungkin.

"Memandangkan Estet tidak mendapat sokongan daripada FFM23, Saya perlu bekerja keras dan meyakinkan kepada masyarakat bahawa Estet adalah sebuah filem kerakyatan yang bagus dan saya rasa belum pernah lagi kita ada.

"Apa pun, saya telah dididik untuk bersyukur dengan apa yang diterima. Setiap kesedihan pasti ada hikmahnya. Ia merupakan satu cabaran untuk saya berkarya bagi filem seterusnya.

"Ini juga merupakan satu 'goncangan' dan kesedaran untuk diri saya di mana bukan semua hasil kerja kita mendapat sokongan," tuturnya.

Bagaimanapun, berdasarkan tayangan perdana yang diadakan pada Rabu lalu, bersempena dengan Majlis Perasmian FFM23, Estet menerima komen yang positif di kalangan penonton yang menyaksikannya.

Selain Estet, filem arahan Mamat iaitu Hantu Kak Limah Balik Rumah juga bakal menemui penonton pada 9 Disember ini, manakala filem Apokalips pula ditayangkan pada tahun depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain