suria

Jangan Tuduh, Scha Bukan Bodoh - Awal

Scha dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan Awal.
Scha dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan Awal.
Scha dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan Awal.

SEJAK kontroversi melibatkan pasangan selebriti popular pengacara Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya panas diperkatakan gara-gara ditahan dalam satu operasi pihak berkuasa di sebuah pusat hiburan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada hujung tahun lalu, timbul pula cerita baru.

Kali ini timbul pula cerita kononnya keluarga Awal dikatakan mula kurang senang dengan Scha.

Puncanya apabila Scha dikatakan tidak menyambut salam secara berjabat tangan dengan sempurna.

Dalam satu laporan akhbar, Scha dikatakan telah menoleh wajahnya ke belakang ketika bersalaman dengan salah seorang ahli keluarga Awal menyebabkan keluarga tersebut mempunyai persepsi negatif terhadap pelakon wanita itu.

Selain kisah negatif itu, Scha dilaporkan semakin menyombong serta sering memberi komen-komen yang pedas sedangkan dia tidak terfikir perbuatan itu boleh memberi kesan buruk terhadapnya.

Terbaru dia dikatakan membalas satu mesej menerusi Twiter yang dihantar oleh rakan artisnya dengan menyamakan seseorang dengan haiwan.

Mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kisah-kisah itu, Mingguan mStar menghubungi Awal yang kini popular dengan single lagu pertamanya, berjudul Memori.

Scha pula tidak dapat dihubungi kerana sedang berada di Seoul, Korea, untuk penggambaran drama Awan Dania 3.

Macam mana hubungan Awal dan Scha sekarang?

Alhamdulillah, kami masih lagi berkawan.

Khabarnya Awal dan Scha akan berkahwin tahun depan. Benar?

Niat untuk kahwin memang sudah ada. Yelah, kalau kawan lama-lama, macam-macam pula jadinya. Kahwin adalah satu benda yang serius. Ramai yang salah faham yang ingat kami nak kahwin tahun depan. Tapi sebenarnya kenyataan saya ialah kalau boleh, saya mahu tamatkan zaman bujang saya sebelum umur 30 tahun. Sekarang umur saya 29 tahun. Tapi kalau tak ada rezeki, nak buat macam mana? tunggu sajalah bila tiba masanya nanti. Bukan kami mahu melambat-lambatkan. Sekarang ini pun masing-masing sibuk dengan kerja.

Difahamkan keluarga Awal kurang senang dengan Scha kononnya ketika Awal bawa Scha bertemu mereka, Scha menoleh ke belakang semasa bersalaman. Benar?

Dari mana cerita itu timbul? Setahu saya, mereka terima Scha dengan baik. Malah adik-adik saya begitu rapat dengan Scha. Alhamdulillah, keluarga terdekat juga menyukai Scha. Tambahan pula mereka minat lakonannya. Saya harap, isu sebegini tidak timbul lagi. Saya risau jika keluarga Scha terasa dengan isu ini kerana mereka begitu menyayangi saya. Masa isu ini keluar di sebuah akhbar, ibu Scha terus hubungi saya untuk bertanya hal sebenar. Bila kisah-kisah yang tak elok mengenai kami keluar, saya takut ia boleh merenggangkan kedua belah keluarga kami. Keluarga Scha sayang saya, begitu juga keluarga saya, mereka sayang pada Scha.

Terkejut bila cerita macam ni timbul?

Scha agak sedih bila isu ini timbul tanpa sebab. Mungkin orang yang tak suka kami bersama yang menyumbangkan cerita-cerita negatif ini. Keluarga saya jenis yang suka berterus terang. Kalau tak suka, mereka akan beritahu.

Awal boleh komen sikit kenapa tak mahu digandingkan bersama dalam mana-mana sesi fotografi? Kalau ditemu bual dalam program televisyen tak tolak pula?

Sejujurnya kami tak mahu hubungan kami terlalu didedahkan. Sebelum ini, bila orang bercakap tentang kami, orang sampai lupa tentang karier kami sebab asyik cerita tentang cinta. Jadi, bila kami disatukan dalam sesi fotografi ia membuatkan lebih banyak kisah cinta ditulis. Pihak televisyen pun banyak nak buat sesi temu bual khas tapi kami tolak dengan cara baik. Cuma bila kami bersama-sama hadir ke sesebuah majlis, kami tidak menolak untuk ditemu bual mahupun diambil gambar bersama.

Benarkah Scha yang jadi “kepala”. Segala keputusan dia yang buat bukannya Awal?

Itu tidak benar. Kalau saya tak suka sesuatu, saya akan cakap tidak suka. Tapi saya jenis yang tidak cerewet dan tidak kisah dalam segala hal. Kalau hal makan pun saya malas nak fikir. Saya seorang yang tidak suka merancang. Lain pula Scha, dia jenis yang bersemangat dalam bab merancang. Kalau keluar bersama Scha, dia dah rancang apa yang nak buat pada hari itu dan semua perancangan itu berjaya kami lakukan bersama.

Ada gosip mengatakan Scha membalas satu mesej di Twiter yang dihantar oleh rakan artisnya dengan berkata ada-pihak-pihak tertentu macam haiwan. Tahu tentang hal itu?

Selagi saya tak baca Twiter itu, saya tak boleh nak komen. Bagi saya, dia seorang yang menghormati orang. Dia tak sebodoh itu untuk menulis kata-kata sebegitu dalam Twiternya kerana ramai yang membaca. Kalau nak tuduh dia macam itu ia agak melampau. Kalau benar dia tulis pasti ada buktinya. Benda yang berkaitan dengan media, dia jaga. Malah dia juga memastikan apa yang ditulis dalam Twitter, tidak akan mengecilkan hati sesiapa. Setelah saya lihat kembali Twitter Scha, dia sebenarnya tidak mengikuti pun akaun artis yang dimaksudkan itu, apatah lagi mahu membalas Twitter kepada artis itu.

Pandangan Awal tentang Scha?

Dia adalah pelengkap saya. Apa yang dia ada, saya tak ada. Contohnya seperti ciri-ciri yang saya tak pernah rasa ada dalam diri saya seperti seorang pelindung, romantik dan macam-macam lagi. Sampaikan saya sendiri berkata pada diri sendiri, “eh, romantik juga aku ni”. Sebelum ini perangai saya agak kebudak-budakan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain