suria

Malek Noor Imbas Lari Pakai Cawat

Malek ditemui semasa rakaman rancangan Selami Jiwa yang dihoskan Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah baru-baru ini. - Foto oleh M AZHAR ARIF
Malek ditemui semasa rakaman rancangan Selami Jiwa yang dihoskan Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah baru-baru ini. - Foto oleh M AZHAR ARIF
Malek ditemui semasa rakaman rancangan Selami Jiwa yang dihoskan Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah baru-baru ini. - Foto oleh M AZHAR ARIF

JAGUH bina badan negara, Datuk Malek Noor,53, benar-benar berubah selepas meninggalkan bidang sukan yang telah menaikkan namanya suatu ketika dahulu.

Sejak tahun 2002, Malek mula menyedari hidupnya selama ini banyak menyimpang dan dia sering terleka dengan segala keseronokan yang tiada penghujungnya.

Tapi lelaki ini merasakan dirinya amat bertuah kerana selepas meninggalkan dunia sukan, dia mendapat petunjuk untuk menjadi seorang manusia yang lebih berguna kepada agama dan dirinya sendiri.

Bersyukur kerana pada usia 46 tahun, Tuhan masih lagi menyayanginya, Malek menghabiskan masa dengan menguruskan lima buah syarikat yang antaranya ialah Sportec’s Divemate Sdn. Bhd., KK Design dan Universal Fitness and Leisure (UFL).

“Sekarang saya dah dapat merasai betapa bersihnya jiwa selepas meninggalkan dunia hidup saya yang penuh kemilau suatu ketika dahulu.

“Saya masih teringat peristiwa ketika saya mahu berubah, saya mengadakan pertunjukan bina badan di Hong Kong dengan memakai cawat. Ketika itu saya benar-benar rasa bersalah terhadap diri sendiri.

“Apabila menang dalam pertandingan itu dan orang mahu ambil gambar, saya cepat-cepat lari masuk ke bilik,” katanya mengimbas kenangan silam.

Malek ditemui semasa rakaman rancangan Selami Jiwa yang dihoskan Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah baru-baru ini. Selain Malek Noor, Amy (Search) turut diundang menjadi ahli panel rancangan tersebut.

Ujar Malek, tidak kiralah seseorang itu apa juga agamanya, bukanlah mudah untuk berubah kalau tidak ada kekuatan dan semangat terhadap agama dan Tuhan masing-masing.

Malah akui Malek dia juga amat sukar untuk menjauhkan diri dengan tempat maksiat sehinggalah dia cuba untuk tidak bergaul dengan orang yang selalu mengajaknya untuk berada di tempat-tempat itu.

Menurut Malek, selepas insaf dengan keseronokan dunia yang dilaluinya barulah dia terasa banyak perkara yang ingin dilakukannya tidak kesampaian lebih-lebih lagi hajatnya seperti mahu mencium arwah ibunya sepuas-puas hati.

Dalam pada itu, Malek juga enggan mengejar harta yang dianggapnya tidak dapat dibawa ke mana-mana kerana dia berpendapat harta juga boleh mengubah seseorang menjadi tamak dan bangga diri.

“Dulu pernah sekali saya membeli jam tangan berharga RM140,000 ketika mahu pergi bersyarah di sebuah tempat di Kedah. Bila saya pergi ke tandas, ia tercicir dan saya hanya sedar ketika mahu pulang ke Kuala Lumpur.

“Saya tak kesal jam itu hilang kerana saya anggap ia mungkin bukan rezeki saya. Siapa yang jumpa itu, rezeki dialah,” katanya yang pernah membintangi filem Juara dan Ujang sebagai pelakon utama tidak lama dulu.

Sementara itu, walaupun sudah dua kali bercerai, Malek masih lagi mencari seorang wanita yang sesuai untuk dijadikan sebagai isterinya.

Bagaimanapun segala-galanya diserahkan kepada Tuhan untuk menentukan jodohnya itu.

Artikel Lain