suria

Uji Bakat "Anda Ada 60 Saat" Bermula

ASTRO memperkenalkan sebuah program permainan terbaru berjudul Anda Ada 60 Saat yang akan memulakan penjelajahan untuk sesi uji bakat tidak lama lagi untuk siaran Astro Warna (saluran 132).

Program Anda Ada 60 Saat ini akan mula bersiaran pada 25 Disember ini.

Anda Ada 60 Saat adalah sebuah program kuiz permainan yang mengetengahkan konsep permainan santai dan menarik yang memberi peluang kepada para peserta untuk memenangi wang tunai sehingga RM500,000 jika berjaya melepasi 10 permainan dengan durasi 60 saat setiap satu.

Setiap peserta perlu bermain secara individu dan diberikan tiga peluang untuk menamatkan cabaran dalam masa 60 saat.

Pengurus saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata Astro telah memberi banyak peluang kepada penonton untuk menonjolkan bakat dan potensi diri.

Daripada bidang nyanyian, komedi, lakonan, tarian dan pelbagai program lain.

“Tidak dapat dinafikan, terdapat kumpulan penonton yang lebih cenderung melakukan aktiviti fizikal ringan menerusi aktiviti permainan. Akur memenuhi kehendak setiap penonton, kami sediakan sebuah lagi program istimewa untuk tontonan pelanggan kami.

“Permainan-permainan yang dberikan sebenarnya mudah dan mampu menarik perhatian penonton kerana cabaran-cabaran yang bakal dikenakan hanya menggunakan perkakas yang digunakan seharian di rumah. Untuk memudahkan mereka, contoh-contoh cabaran boleh ditonton menerusi laman web rasmi Anda Ada 60 Saat.

“Menariknya, orang ramai juga dijemput untuk memuat naik rakaman video latihan cabaran-cabaran yang digunakan untuk tontonan ramai yang melayari laman web itu,” jelas Nizam lagi.

Nizam menambah: ”Sebagai contoh cabaran Bersemuka Dengan Biskut. Dalam cabaran ini, peserta perlu menggerakkan dua keping biskut dari dahi ke mulut dengan menggunakan otot muka sahaja. Jika biskut itu jatuh, peserta boleh meletakkan semula biskut lain pada dahi dan cuba sekali lagi. Jika gagal dilaksanakan dalam tempoh 60 saat, peserta mungkin tersingkir jika masih gagal melakukan cabaran selepas tiga kali percubaan.

Permainan-permainan yang akan disediakan dalam program ini sebenarnya amat mudah dan santai sekali. Tetapi persoalannya, mampukah anda melakukannya dalam masa 60 saat? Itulah keunikkan program ini!”

Antara cabaran yang lain yang akan diberikan kepada bakal peserta pada setiap minggu seperti; Kepala Rock, Kepala Baldi, Tin Beracun, Lawan Graviti, Hantu Bungkus Pening, Bersemuka Dengan Biskut, Gantung Paku, Pantas Tangan, Menara Epal, dan Susun-Susun. Untuk melihat cara permainan cabaran-cabaran ini, anda bolehlah melayari laman web rasmi Anda Ada 60 saat di www.astro.com.my/andaada60saat.

Jadi, kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai Anda Ada 60 Saat, sila datang beramai-ramai ke ujibakat yang bakal dijalankan di Dewan Sri Putra, Stadium Bukit Jalil pada 16 dan 17 Oktober ini, pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Sesi uji bakat ini terbuka warganegara Malaysia yang boleh bertutur dalam Bahasa Malaysia dan berumur 18 tahun keatas.

Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar terkini berukuran 4R termasuk gambar profil dan paras pinggang.

Peserta yang hadir juga perlu memakai pakaian yang bersesuaian sewaktu sesi uji bakat ini nanti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain