suria

Tiz Tangkis Serangan Jahat

BELUM jauh mana pun hayunan langkah seni gadis jelita ini. Namun, tempoh empat tahun itu sudah cukup untuk membuka mata penama Tiz Zaqyah Abd Razak atau mesra disapa Tiz mengenali “sepak terajang” dunia penuh glamor.

Segala macam kontroversi yang menghambat setia mendekati aktres yang membina nama menerusi drama bersiri popular Nur Kasih ini.

Bukan satu dua cerita negatif memalit, Tiz pernah dilabel sebagai gadis nakal, “kaki sosial”, gadis parti dan terbaru cuba untuk merampas kekasih pelakon Fasha Sandha.

Namun, bagai kalis kontroversi gadis yang bakal berusia 22 tahun tanggal 25 Oktober ini punya cara sendiri menangkis sebarang bentuk serangan-serangan jahat dan tohmahan yang dilempar.

Formula Tiz cukup mudah, jangan ambil peduli kerana jika terlalu dirunsingkan kelak hanya memakan diri.

“Kalau nak difikir dan diteliti apa juga persepsi atau kata-kata orang lain terhadap diri kita, maka susahlah hendak menjalani hidup ini dengan tenang. Orang akan sentiasa mempertikai itu dan ini apatah lagi apabila kita dikenali ramai.

“Cara saya mudah. Tak perlu nak bebankan fikiran dengan kata-kata orang kerana kebenarannya hanya saya dan Tuhan saja yang tahu. Sejujurnya, saya tak ambil kisah sangat kerana hidup harus diteruskan juga,” katanya.

Sebagai muka baru, Tiz cukup bertuah kerana populariti senang mengulit setiap inci tubuh mulusnya itu sehingga diangkat sebagai bintang muda yang meniti di bibir peminat.

Perit untuk didengar namun lebih berat lagi bahu memikulnya apabila populariti yang di kecapi itu seakan lebih menyerlah pada sisi negatif berbanding bakat yang didagangkan.

Menerusi perbualan bersama Mingguan mStar pada Rabu lalu, Tiz yang sinonim dengan gestur selamba dan ringkas mengakui, pelbagai cerita kontroversi yang timbul beberapa bulan lalu memang mencalarkan hati tetapi tidak merimaskannya. Dek tohmahan yang bertandang itu, dia senang untuk “lenyap” seketika bagi meredakan kekusutan.

Biarpun mengakui ia tidak menggugat periuk nasinya, namun Tiz lebih senang untuk berdiam diri daripada segala bentuk publisiti selain daripada melunaskan komitmen kerja.

“Walaupun pada dasarnya, segala kontroversi yang tercetus beberapa bulan yang lalu tidak menggugat atau memberi tekanan kepada saya secara menyeluruh tetapi bohonglah jika ia langsung tidak mengganggu emosi dan fikiran saya sedikit pun.

“Cuma, saya memang sudah melatih diri untuk bersikap kebal dan jangan ambil terlalu serius apa jua dakwaan dan persepsi yang tidak berasas terhadap saya. Selepas terlibat dengan filem Nur Kasih sekitar Julai lalu, saya hanya mahu berdiam diri dan fokus pada kerja bagi meredakan keadaan.

“Kebetulan pula selepas komitmen bersama Nur Kasih berakhir, kita sudah menyambut bulan Ramadan dan Syawal, jadi saya lebih selesa mendiamkan diri di rumah saja jika tiada komitmen kerja,” katanya.

Matang hadapi masalah

Mendengar luahan itu, penyandang anugerah Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 ini lantas diaju pertanyaan apakah yang dipelajarinya daripada kontroversi yang melanda.

Ujar Tiz, apa jua laporan dan persepsi negatif yang singgah dalam kamus hidupnya sejak bergelar anak seni menjadikan dirinya kian matang.

Dia belajar erti kesabaran, tidak mudah melenting dan paling penting Tiz kini lebih cekap menghadapi apa jua kes kontroversi yang hinggap.

“Saya semakin matang dan cekap untuk menghadapi cerita-cerita negatif yang tersebar mengenai saya. Semua kontroversi yang melanda menjadikan saya lebih tenang dan tidak mudah panik biar seburuk mana pun cerita yang timbul.

“Bagi saya, seteruk mana sekali pun masalah atau kesukaran yang menghimpit, lebih ramai lagi di luar sana yang berdepan masalah hidup lebih besar. Jika hendak dibandingkan dengan apa yang saya lalui ini tidaklah sebesar mana sehingga boleh menjejaskan kehidupan saya.

“Apa pun, saya bersyukur kerana dikelilingi oleh keluarga dan teman-teman rapat yang sangat memahami dan setia ketika saya berdepan dengan masalah. Mereka banyak membimbing dan menyokong saya,” tutur anak bongsu daripada dua beradik ini.

Tak ingin ‘nakal’ lagi

Reaksi selesa yang dipamerkan Tiz lantas mendorong perbualan kami menjurus kepada soal peribadi.

Apabila diminta mengulas tentang kesahihan dakwaan yang melabelnya sebagai gadis ‘nakal’, Tiz tidak menyangkal apa jua cerita yang timbul. Namun, sebagai gadis remaja dia akui tidak lekang daripada melakukan kesilapan.

Bangkit daripada kealpaan itu, Tiz hari ini boleh tersenyum bangga kerana sudah menguburkan semua episod ‘nakal’ itu dalam-dalam.

Akuinya, dia tidak lagi berminat untuk keluar berhibur bersama teman-teman atau melakukan apa juga dakwaan orang sebelum ini.

“Sebagai orang muda memang tak dinafikan saya banyak melakukan kesilapan tetapi itu adalah diri saya. Saya cuba sebaik mungkin untuk perbaiki kesilapan diri.

“Kini, saya sudah tiada keinginan untuk melakukan semua perkara negatif yang pernah dikaitkan dengan saya. Saya boleh berbangga kepada diri saya sendiri kerana sudah beberapa bulan ‘bersih’ daripada palitan sebarang perkara negatif.

“Terus-terang saya katakan, saya sudah lama tidak keluar bersosial atau berhibur dengan teman-teman. Bagi saya, pada fasa ini, saya hanya ingin relaks di rumah dan tumpukan perhatian pada kerja,” ulasnya.

Langkahnya masih jauh dan banyak lagi perkara baru dalam bidang seni yang ingin Tiz pelajari.

Bukan sahaja dalam bidang lakonan, pelakon yang bakal menyusul dengan telefilem Tujuh Lagu pada Hari Raya Aidiladha ini terlalu teruja untuk melebarkan sayap ke pentas nyanyian andai peluang terhidang.

Foto RAYMOND OOI Pakaian EZUWAN ISMAIL (012-2646871) Solekan & tatarias DEQSHA (019-3495383)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain