suria

Dilantik Pengerusi RIM, Norman Tolak Tuduhan Gila Kuasa

KUALA LUMPUR: "Saya bukan gila kuasa." Itu reaksi spontan Norman Abdul Halim apabila diminta mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak berhubung pelantikannya sebagai Pengerusi baru Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) bagi penggal 2010-2012.

Menurut Norman, dakwaan sedemikian adalah tidak berasas sama sekali dan lebih menjurus kepada persepsi peribadi sesetengah pihak sahaja.

"Jika benar ada dakwaan sedemikian, saya boleh katakan ia sebagai sesuatu yang tidak berasas dan merupakan perkara remeh-temeh yang tidak perlu dilayan. Pelantikan ini tiada kaitan dengan tindakan melobi atau saya bersikap gila kuasa.

"Pelantikan saya sebagai Pengerusi baru RIM adalah bagi menggantikan Pengerusi RIM sebelum ini iaitu Sandy Monteiro yang dinaikkan jawatan kepada Presiden Universal Music Group International (UMGI) Asia Timur Selatan bermula 1 Julai lalu," jelas Norman yang ditemui pada majlis Hari Raya RIM di PWTC, Rabu.

Mengulas lanjut, Norman berkata pembabitannya dalam pelbagai persatuan seni tanah air termasuklah Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) pada 1998, Karyawan (2000) dan seterusnya menyertai RIM sejak tahun 2004 bukanlah didorong oleh keinginan untuk memegang jawatan-jawatan penting.

Sebaliknya keputusan dia bergiat aktif dalam persatuan didorong oleh kesedarannya sendiri sebagai anak seni untuk memperjuangkan isu-isu dan hak-hak berkaitan aktiviti seni.

"Sejak tahun 1998 lagi, saya sudah mula bergiat aktif dalam beberapa persatuan untuk memperjuangkan hak dan isu-isu yang dihadapi oleh karyawan seni tanah air.

"Bermula sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) di Papita, seterusnya di Karyawan (2000) dan kemudiannya menyertai RIM pada 2004 sebagai AJK.

"Pemilihan Pengerusi RIM berlaku menerusi pengundian secara aman. Apabila Sandy melepaskan jawatan itu, secara automatik jawatan tersebut diberikan kepada saya selaku Naib Pengerusi sebelum ini.

"Jawatan ini langsung tidak dipengaruhi oleh sebarang kepentingan peribadi melainkan untuk membangunkan industri muzik," tegasnya.

Di bawah pimpinan Norman, barisan AJK baru RIM mensasarkan beberapa misi utama antaranya untuk mengembalikan keterujaan masyarakat terhadap dunia muzik dan pembangunan industri muzik tanah air.

"Matlamat utama kita adalah untuk mengembalikan keterujaan masyarakat terhadap dunia muzik tanah air.

"Sejak kebelakangan ini, keterujaan masyarakat terhadap produk muzik tempatan dan anugerah muzik seperti Anugerah Industri Muzik (AIM) semakin merosot. Sebagai persatuan kita bertanggungjawab untuk mengembalikan keterujaan itu.

"Antara usaha yang kita rancangkan adalah untuk menerbitkan carta kedudukan lagu-lagu dan album-album tempatan berdasarkan kedudukan jualan digital. Kita ingin galakkan masyarakat untuk terus membeli produk tempatan. Kita juga mahu pengkarya seni untuk terus hasilkan lagu-lagu yang dapat memikat selera pendengar.

"Mungkin dengan cara itu, ia dapat merancakkan kembali dunia muzik tempatan dan seterusnya membangunkan industri ini," katanya yang mensasarkan tempoh tiga tahun bagi melihat perkembangan itu.

Jelas Norman lagi, AJK RIM baru yang dipilih pada Mesyuarat Agung RIM pada 24 September lalu bakal bersidang buat kali pertama pada 8 Oktober depan bagi membincangkan beberapa perkara termasuklah isu pembangunan industri, peningkatan hubungan bersama media dan kerajaan, penubuhan jawatankuasa media baru dan akta berkaitan isu cetak rompak secara digital.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain