suria

Astro Oasis Perkenal Kuiz Islam "Famili Sarjana"

ASTRO Oasis (saluran 106) buat pertama kalinya memperkenalkan sebuah program berkonsepkan kuiz kekeluargaan Islam berjudul Famili Sarjana yang akan ditayangkan mulai 27 November ini.

Program Famili Sarjana merupakan sebuah rancangan kuiz yang menyaksikan dua buah keluarga akan bersaing setiap minggu untuk menjawab soalan-soalan keagamaan meliputi lima perkara yang terkandung dalam rukun Islam iaitu syahadah, solat, puasa, haji dan zakat.

Sebuah keluarga akan dinobatkan sebagai juara di peringkat akhir dan sebagai pendorong, hadiah utama berbentuk pakej umrah ke Tanah Suci Mekah disediakan untuk mereka.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, Astro sentiasa akur dengan permintaan para pelanggan yang mahukan pengisian berbentuk rohani di televisyen.

“Program Famili Sarjana merupakan sebuah rancangan kuiz kekeluargaan terbaru yang membawa pendekatan berlainan berbanding program-program kuiz sedia ada.

“Program ini membawa pendekatan perkongsian ilmu dalam keadaan santai dan hiburan ringan, tetapi mencabar peserta dengan pelbagai soalan yang berkaitan lima perkara utama yang terkandung dalam Rukun Islam. Secara tidak langsung, penonton di rumah turut memperoleh ilmu daripada soalan yang dilontarkan,” jelas Izelan lagi.

Izelan turut menambah: “Kejayaan program realiti terunggul Imam Muda dengan liputan meluas media tempatan dan antarabangsa telah meletakkan Astro Oasis pada kedudukan yang tersendiri.

“Jadi, tanggungjawab kami juga semakin bertambah untuk memastikan setiap program yang ditawarkan oleh saluran ini berada atau lebih daripada paras itu.

"Walaubagaimanapun, tanggungjawab yang lebih utama adalah untuk mendidik keluarga dan masyarakat menerusi program-program yang berkualiti," katanya.

Setiap keluarga akan bersaing dalam lapan saringan setiap minggu sebelum empat yang terbaik akan bersaing di peringkat separuh akhir.

Dua buah keluarga terbaik akan berjaya berentap di peringkat akhir sebelum satu keluarga dinobatkan sebagai juara Famili Sarjana.

Semua keluarga Islam yang berminat untuk menyertai program Famili Sarjana dijemput hadir ke sesi uji bakat di Astro, Bukit Jalil pada 2 dan 3 Oktober 2010, pukul 9 pagi.

Setiap keluarga perlu dianggotai lima orang ahli keluarga iaitu peserta dewasa lelaki atau wanita (datuk atau nenek), dewasa lelaki (bapa), dewasa wanita (ibu), remaja (13 hingga 18 tahun) dan kanak-kanak (7 hingga 11 tahun).

Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta sekeping gambar keluarga berukuran 4R. Peserta yang hadir juga perlu memakai pakaian yang sopan sewaktu sesi uji bakat itu nanti.

Artikel Berikut

Artikel Lain