suria

Tayangan Perdana Filem "Endhiran" Diadakan Di Malaysia Khamis Ini

KUALA LUMPUR: Endhiran, filem yang menelan perbelanjaan paling mahal dalam sejarah perfileman India, akan menemui penonton di Malaysia Khamis ini.

Setiausaha Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia R.C. Krishnan berkata tayangan khas filem yang menelan kos kira-kira US$35 juta (RM108.20 juta) itu akan diadakan di lebih 60 pawagam di seluruh negara.

Katanya hasil daripada jualan tiketnya akan didermakan kepada Sekolah Pengurusan Latihan Restoran dan Penyajian Makanan, yang dijangka mula beroperasi pada Jun tahun depan.

"Sekolah berharga RM3 juta itu sedang dibina untuk membantu pelajar keturunan India yang ingin mendapatkan kemahiran dalam bidang masakan dan pengurusan.

"Ia akan mengenakan kadar yuran pengajian yang rendah kepada pelatih," katanya kepada Bernama , Selasa.

Beliau berkata kira-kira 11,000 tiket akan dijual bagi menonton tayangan perdana filem yang paling dinanti-nantikan di India itu, yang menampilkan pelakon terkenal India Selatan, Rajinikanth dan bekas Ratu Dunia Aishwarya Rai Bachchan. "Setakat ini, kami telah menjual separuh daripada jumlah tiket yang diperuntukkan kepada orang ramai. Setiap tiket berharga RM60 dan kami berharap dapat menjual kesemua tiket dalam tempoh dua hari lagi," katanya.

Krishnan berkata sehingga kini, semua tiket bagi menyaksikan tayangan itu telah habis dijual di Lembah Klang dan bakinya hanya boleh didapati di beberapa tempat seperti di Perak dan Johor.

Seorang jurucakap Lotus Five Star, syarikat yang mendapat hak mengedar filem itu di Malaysia, berkata filem cereka sains itu akan ditayangkan di lebih 100 pawagam di seluruh negara mulai Jumaat ini.

Di India, versi Hindi filem itu menggunakan judul "The Robot" dan "Robo" dalam versi Telugu.

Muzik bagi filem arahan S. Shankar ini digubah oleh A.R. Rahman, pemenang hadiah Oscar melalui filem Hollywood "Slumdog Millionaire". - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain