suria

Najwa & Soo Wincci Bantu Golongan Kurang Upaya

Najwa (kiri) dan Soo Wincci merupakan antara artis yang menjayakan Malam Gala Seni 1 Malaysia. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Najwa (kiri) dan Soo Wincci merupakan antara artis yang menjayakan Malam Gala Seni 1 Malaysia. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Najwa (kiri) dan Soo Wincci merupakan antara artis yang menjayakan Malam Gala Seni 1 Malaysia. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH

DUA penyanyi baru ini tidak pernah disatukan sebelum ini. Buat pertama kalinya Najwa, 24, dan Soo Wincci, 24, akan ditemukan bagi menjayakan Malam Gala Seni 1 Malaysia di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 10 November akan datang pukul 8 malam.

Kedua-duanya juga berkongsi matlamat yang sama iaitu sepakat untuk membantu Kelab Golongan Orang Kurang Upaya (KG KU).

Bagi Najwa, biarpun pertama kali menyertai program berbentuk amal itu, dia berharap sumbangannya mampu memberikan perubahan kepada golongan tersebut.

“Ikutkan, sumbangan saya sangat kecil kerana saya hanya membuat persembahan pada malam itu. Jadi, saya berharap walaupun sumbangannya kecil, ada perubahan yang dapat diberikan kepada golongan kurang upaya ini sebab mereka perlu diberi peluang untuk melakukan apa yang mereka ingini.

“Bagi saya, apabila semua orang memberikan sokongan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu walaupun sedikit,” katanya ketika ditemui pada sidang media di River Side, PWTC, Isnin.

Sementara itu, Ratu Dunia&Malaysia 2008/09, Soo Wincci berkata program amal bukanlah merupakan perkara baru baginya kerana dia pernah terlibat dengan banyak program amal sebelum ini.

Namun, ini merupakan kali pertama dia melibatkan diri dalam kerja amal sebagai artis.

“Saya akan menyanyikan lagu sendiri berjudul Cinta Abadi dalam versi bahasa Melayu, Cina dan Inggeris serta lagu Bukan Cinta Biasa yang dipopularkan oleh Datuk Siti Nurhaliza.

“Pada saya, majlis ini bukan majlis hiburan semata-mata tetapi turut mengutip derma untuk membantu golongan kurang upaya.

“Saya rasa majlis seperti ini perlu mendapat sokongan masyarakat dan berharap rakyat Malaysia dapat menolong dan memberikan peluang kepada golongan itu untuk menjalani kehidupan yang lebih baik seperti orang biasa yang lain,” ujarnya.

Majlis yang turut dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) itu bertujuan mengisi Dana Kelab KG-KU untuk memiliki sebuah premis sendiri sebagai pusat perkhidmatan kelab yang memberikan latihan dan kursus kerjaya seperti jahitan, komputer, gunting rambut, membuat kek, dan urutan tradisi.

Selain Najwa dan Wincci, majlis tersebut akan dijayakan dengan persembahan daripada Zainal Abidin, Ning Baizura, Aizat, Adibah Noor, Hail Amir, Reshmonu, Helmi Gimmick, Monti & Logi (pelawak), Iqwal, Crystal Lee, Prabu dan Akim (Idola Kecil).

Majlis yang akan dihoskan oleh Yasmin Hani dan Sazzy Falak itu turut dimeriahkan oleh persembahan daripada golongan kurang upaya.

Menurut Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, pihaknya akan berbincang dengan KG KU untuk mengundang golongan itu melakukan persembahan nanti.

Freddie turut menambah, dengan masalah yang berlaku dalam Karyawan, ia tidak menjadi halangan kepadanya untuk menganjurkan majlis tersebut.

“Kita berada pada landasan yang betul dan akan meneruskan agenda untuk membantu orang lain. Tiada siapa yang boleh menggugat aktiviti Karyawan dalam memartabatkan indusrtri seni.

“Jangan percaya apa yang orang cakap tentang Karyawan kerana fitnah semata-mata. Tiada siapa yang boleh mencari salah dalam Karyawan sebab kami jujur untuk memperjuangkan industri seni,” tegasnya.

Majlis tersebut akan dihadiri oleh Tetamu Kehormat iaitu Puan Sri Noorainee Abd Rahman, isteri Timbalan Perdana Menteri. Kemungkinan besar, Timbalan Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin akan turut hadir bersama.

Sebanyak 60 meja yang akan dijual berharga RM2,000, RM3,000, RM5,000 atau RM10,000 sebuah bagi 10 orang. Tempahan meja boleh dibuat dengan menghubungi pejabat Karyawan di talian 03-79552967 atau 03-79606459.

Artikel Berikut

Artikel Lain