suria

Rais Saran Kualiti Dokumentari, Filem Dipertingkatkan

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim (dua, kanan) dan isteri Datin Seri Masnah Rais (dua, kiri) memegang bebola kristal sebagai simbolik perasmian Pelancaran Program Dokumentari, Filem Kenegaraan dan Jamuan Aidilfitri di Dataran Karyawan Finas di sini, Khamis. Turut kelihatan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan merangkap Pengerusi Finas, Datuk Mohd Daud (kiri) dan Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim (kanan). - Foto The Star oleh M. AZHAR ARIF

KUALA LUMPUR: Berpaksikan visi untuk menjadi peneraju utama kemajuan industri filem dan dokumentari Malaysia di pasaran global, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil inisiatif dengan mengundang anak tempatan yang berminat untuk menghasilkan dokumentari bagi pasaran antarabangsa pada tahun depan.

Sehubungan itu, majlis pelancaran program dokumentari ke persada dunia dan filem kenegaraan dan warisan telah diadakan di Dataran Karyawan Finas, Hulu Kelang, Ampang, Khamis bagi menghebahkan program itu.

Berucap pada majlis tersebut, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim berkata, seiring dengan matlamat itu, pihak kementerian menyarankan penggiat filem dan seni tanah air untuk menghasilkan dokumentari yang berkualiti tinggi setanding dokumentari dan filem luar.

"Kita ingin melihat dokumentari dan filem buatan Malaysia mendapat permintaan di pasaran antarabangsa pada masa akan datang. Bagi mencapai matlamat itu, kita ingin galakkan lebih ramai penggiat seni mahupun orang awam yang kreatif dan berminat untuk menghasilkan lebih banyak dokumentari bagi pasaran global pada tahun depan.

"Bagaimanapun, mereka perlulah menghasilkan produk yang berkualiti tinggi yang setanding dengan buatan produksi luar agar dapat dipasarkan di peringkat antarabangsa," katanya.

Rais turut mengingatkan Filem Negara dan Finas haruslah bekerjasama dan berganding bahu bagi mempertingkatkan lagi kualiti dokumentari dan meluaskan jaringan pemasaran produk tersebut di peringkat global.

"Unit produksi Finas dan pihak yang terlibat perlu diperkuat dan dimantapkan lagi bagi meluaskan pemasaran produk yang dihasilkan itu.

"Bukan sahaja aspek kualiti produk dan teknikal sahaja perlu diperhalusi, malah jaringan pemasaran di peringkat antarabangsa juga perlu diperluaskan.

"Justeru itu, sebuah badan atau jawatankuasa khas yang arif dan berkemahiran akan dilantik bagi memantau dan membimbing unit produksi Finas yang sedia ada agar menjadi lebih cekap dalam aspek pemasaran dokumentari ini kelak," katanya.

Dalam majlis yang sama, Rais turut berkata, peranan Filem Negara dan Finas dalam penerbitan dan pengurusan dokumentari dan filem juga dibahagikan kepada dua bagi meningkatkan tahap pengurusan yang lebih efisien terhadap produk-produk tersebut.

"Jika sebelum ini, peranan Filem Negara dan Finas agak kurang jelas, tidak terperinci dan bercampur-aduk dalam urusan penerbitan dokumentari dan filem di Malaysia, selepas ini peranan kedua-dua badan itu akan lebih jelas.

"Peranan Filem Negara akan dikhususkan kepada penerbitan dokumentari kenegaraan dan iklan promosi berkaitan mesej dan mandat kerajaan kepada masyarakat, manakala Finas pula akan bertumpu kepada urusan pemasaran dokumentari dan filem komersial sama ada untuk pasaran tempatan mahupun global.

"Usaha ini dilihat dapat meningkatkan operasi kerja dan kecekapan kedua-dua badan ini mengikut peranan masing-masing," katanya.

Finas membuka penyertaan kepada penggiat seni dan orang ramai yang berminat dengan penerbitan dokumentari untuk menghantar penyertaan mereka sebelum atau pada 14 Oktober 2010.

Untuk syarat-syarat penyertaan dan maklumat lanjut, bolehlah layari laman web sinemamalaysia.com.my.

Artikel Sebelum

Zarina Temui Cinta Dengan Pelakon

Artikel Berikut

Ashraf & Bunga Dapat Anak Lelaki

Artikel Lain