suria

Teater Muzikal Kampung Boy Di Istana Budaya, Disember Ini

KUALA LUMPUR: Karikatur Kampung Boy karya Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat akan dipentaskan dalam bentuk teater muzikal di Istana Budaya, Disember ini.

Ia berupa usaha sama di antara Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan Tall Order Theater Production.

Konsep penyampaiannya dalam Bahasa Malaysia akan menerapkan unsur 1Malaysia.

Pengurus Jabatan Komunikasi, Pemasaran dan Jualan ITNM, Zinitulniza Abdul Kadir berkata, Kampung Boy dipilih kerana penceritaannya yang memaparkan budaya masyarakat negara ini.

"Teater ini berteraskan konsep 1Malaysia, atas permintaan Datuk (Lat) sendiri. Bukan saja kru malah pelakonnya juga terdiri daripada pelbagai bangsa.

"Disebabkan perkara ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju untuk menjadi penaung pementasan itu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Tambah Zinitulniza, naskah kartun Kampung Boy telah berjaya diterjemahkan ke dalam 15 bahasa dan ini merupakan cara terbaik untuk mempromosikan budaya masyarakat Malaysia melalui teater kepada orang ramai.

Bagi Lat pula, beliau tidak menyangka karyanya itu akan dipersembahkan dalam bentuk teater muzikal di sebuah pentas bertaraf antarabangsa dan menganggap ia sebagai satu penghargaan kepadanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain