suria

Elfira Loy Semakin Popular Kerana Qalesya

Elfira Loy semakin popular selepas membintangi drama bersiri Qalesya di Astro Oasis dan Astro Prima. - Foto oleh RAYMOND OOI
Elfira Loy semakin popular selepas membintangi drama bersiri Qalesya di Astro Oasis dan Astro Prima. - Foto oleh RAYMOND OOI
Elfira Loy semakin popular selepas membintangi drama bersiri Qalesya di Astro Oasis dan Astro Prima. - Foto oleh RAYMOND OOI

AKTRES kecik molek yang sedang meningkat naik, Elfira Loy tidak menafikan populariti dan tawaran lakonannya semakin bertambah selepas membintangi drama bersiri Qalesya.

Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy,16, yakin lakonannya sebagai Qalesya benar-benar menyentuh perasaan penonton sekaligus mudah menarik mereka untuk terus menonton drama di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Prima (saluran 105) itu.

Selepas Qalesya, Elfira yang mesra dengan panggilan El ini terus mengorak langkah dengan muncul dalam lebih 10 buah drama bersiri dan telefilem seperti Senja Permai, Hati Yang Terpinggir, Syurgamu Ramadan dan Hantu Kum-Kum.

Biarpun dia selesa membawakan watak budak baik, namun tidak bermakna pelakon kacukan Cina dan Arab ini tidak mampu menerima tawaran berlakon watak antagonis.

Menerusi telefilem Hantu Kum-Kum, dia melakonkan watak budak gothik yang jahat.

“Dalam sejarah lakonan saya, itu pertama kali saya melakonkan watak gothik. Saya hanya mempraktiskan seperti yang diarahkan oleh pengarahnya, Michael Ang dan tiada masalah untuk mengikutinya.

“Ia turut menceritakan bagaimana saya dirasuk,” katanya kepada mStar Online.

Bercerita tentang populariti, El masih menjalani kehidupannya seperti pelajar biasa lain di sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Damai, Cheras.

Biarpun begitu, dia turut dikenali di kalangan kenalan dari sekolah lain seperti pelajar dari Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas kerana mereka selalu bertemu di pusat tuisyen yang sama di Cheras.

Mengenali lebih dekat tentang insan yang mahu serius dalam industri ini, karakternya selalu berubah-ubah mengikut keadaan dan persekitaran.

“Saya seorang yang garang, kelakar, pendiam dan ‘gila-gila’. Semasa saya melakonkan watak Qalesya, saya mudah terbawa-bawa watak itu dan berubah menjadi terlalu baik,” tuturnya.

Selepas ini, El bercita-cita untuk menerima lebih banyak lagi tawaran yang lebih mencabar. Demi memenuhi kehendak penonton, anak kedua daripada empat beradik ini akur sekiranya para peminat lebih mahukan dia berlakon watak baik berbanding jahat.

Dia memulakan karier lakonannya sejak berusia 12 tahun. Selain muncul di kaca televisyen, El juga terlibat dalam pementasan teater seperti teater muzikal Ali Baba dan filem Damping Malam arahan Ahmad Idham.

Dalam banyak-banyak lakonan, dia paling seronok berlakon dalam drama Waktu Rehat untuk saluran Disney di Astro yang telah disiarkan pada Hari Kemerdekaan baru-baru ini.

Tetapi jika diberi pilihan, sudah tentu dia memilih teater berbanding drama dan filem kerana karier lakonannya bermula dalam bidang teater.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain