suria

Ifa Raziah Tak Pinjam Ah Long

Ifa kini semakin aktif dengan perniagaannya. Foto THE STAR oleh RICKY LAI
Ifa kini semakin aktif dengan perniagaannya. Foto THE STAR oleh RICKY LAI
Ifa kini semakin aktif dengan perniagaannya. Foto THE STAR oleh RICKY LAI

SEPERTI semua sedia maklum, sejak dahulu lagi ada saja perniagaan yang dibuat oleh penyanyi Ifa Raziah tidak kira kecil ataupun besar.

Jatuh bangun Ifa dalam mengukuhkan perniagaan selama ini tidak pernah melunturkan semangatnya untuk mencapai cita-cita sebagai ahli perniagaan yang berjaya.

Selepas kejayaan produk kecantikan Serifah kepunyaannya,kini Ifa melangkah ke satu tahap lagi apabila diberi tawaran oleh Ketua Pegawai Eksekutif Firaxis International Sdn Bhd, A C Goh.

Menerusi syarikat tersebut Ifa dilantik sebagai pengarah sekali gus menjadi duta produk penjagaan wajah, Zenzoria yang diimport khas dari Amerika Syarikat.

Malah, Ifa berani mengambil risiko dengan mengeluarkan jumlah wang yang besar untuk membeli saham sebanyak 40 peratus syarikat tersebut.

"Duit yang saya keluarkan bukan sedikit seperti dahulu, dan bukanlah sampai berjuta. Tapi cukuplah untuk saya katakan ia dibawah RM500,000. Alhamdulillah, duit itu hasil daripada wang simpanan titik peluh saya dalam perniagaan dan nyanyian.

"Lagipun memang sejak dahulu lagi saya suka bekerja sendiri dan bukan di bawah orang. Biarlah hasil yang saya dapat itu sikit, janji puas dengan hasil niaga yang kita buat.

"Saya kumpul dan simpan sikit-sikit. Jangan fikir bukan-bukan tau, dan saya juga tak pinjam duit ah long. Setakat ini ramai yang memberikan respon yang baik tehadap perniagaan saya ini.

"Jika dahulu saya mula menjinakkan diri dalam perniagaan di dalam negara sahaja, kini saya lebih berani dengan menyertai Firaxis untuk ke pasaran antarabangsa pula," katanya pada majlis makan malam dan ulang tahun pertama jenama ZenZoria di Hotel Berjaya Times Square baru-baru ini.

Beritahu Ifa, dia dan A C Goh sudah berkenalan sejak enam tahun lalu dimana Firaxis pada ketika itu mengambil Ifa sebagai duta produk pelangsingan badan dan mereka sudah lama merancang untuk bekerjasama dalam syarikat tersebut.

Bercerita tentang produk ZenZoria, Ifa mahu masyarakat tempatan mencuba produk tersebut yang dianggap magis itu.

"Sebelum saya mempromosikan produk tersebut kepada orang, saya sudah tiga bulan mencuba produk itu dan hasilnya menakjubkan. Tambah pula ia sesuai untuk semua jenis kulit tidak kira yang sensitif, berminyak, kering atau normal. Cuma cara penggunaannya sahaja yang berbeza mengikut jenis kulit.

"Saya faham, mungkin harga produk ini agak mahal berbanding dengan produk lain tapi saya jamin, kualitinya bagus. Tak payah dah kita habiskan duit untuk rawatan muka di salon. Bagi sesiapa yang tidak faham dan mahu mendaptkan keterangan lanjut untuk produk ini, bolehlah emel ke [email protected]," kata Ifa.

ZenZoria yang sudah menjangkau usia setahun dalam syarikat Firaxis kini berjaya menembusi pasaran antarabangsa di Indonesia, Brunei serta Hong Kong diikuti pula Dubai, Vietnam dan Thailand pada tahun hadapan.

Tambah Ifa, produknya, Serifah akan mengeluarkan rangkaian produk terbaru iaitu Serifah Gold dan akan dipasarkan dibawah syarikat Firaxis.

Sementara itu, Ifa juga memberitahu dia sudah lama tidak menyuntik wajahnya menggunakan botox atau ubat kecantikan lain.

Tetapi kini dia mengambil jalan selamat dengan merujuk doktor dalam pengambilan ubat-ubatan kecantikan.

"Sekarang ini, saya ambil ubat "plasenta" dan vitamin C, bukan cucuk muka tau. Cucuk muka semua kisah lama. Plasenta pula saya ambil daripada plasenta kambing biri, bukan manusia.

"Tapi setakat ini saya jaga bahagian dalaman sahaja dengan menjaga makanan, mengambil vitamin serta bersenam untuk tampak lebih muda berbanding usia. Bagaimanapun saya mahu nasihatkan pada umum untuk tidak membuat keputusan sendiri tanpa rujukan doktor," tutur Ifa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain