suria

Khadijah Ibrahim Lega Sambutan Baik MASiF 2010

Lega: Datuk Khadijah Ibrahim selaku Pengerusi MASiF 2010 gembira dengan sambutan luar biasa orang ramai. - Foto oleh SAM THAM
Lega: Datuk Khadijah Ibrahim selaku Pengerusi MASiF 2010 gembira dengan sambutan luar biasa orang ramai. - Foto oleh SAM THAM
Lega: Datuk Khadijah Ibrahim selaku Pengerusi MASiF 2010 gembira dengan sambutan luar biasa orang ramai. - Foto oleh SAM THAM

SEBAGAI pengerusi kepada penganjuran acara Music, Arts, Style, International Festival atau MASiF 2010, Datuk Khadijah Ibrahim berbangga dan boleh menarik nafas lega dengan kelancaran acara yang julung kali diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Datuk Khadijah atau mesra disapa Khaty berkata, perjalanan acara festival itu berlangsung dengan baik dan paling penting mendapat sambutan yang luar biasa daripada orang ramai.

"Saya lega dan gembira dengan sambutan dan kesedaran masyarakat terhadap penganjuran festival ini. Walaupun pertama kali diadakan, respons yang kami terima terhadap program dan aktiviti yang berlangsung adalah sangat baik terutamanya daripada golongan remaja.

"Acara ini juga menarik perhatian orang Sabah dan Sarawak. Mereka teruja dengan penganjuran MASiF sehingga sanggup datang ke Semenanjung Malaysia dan sama-sama memeriahkan acara ini," katanya.

Jelas Khaty lagi, sambutan baik daripada orang ramai terhadap penganjuran MASiF 2010 adalah permulaan yang baik dan petanda positif agar penganjuran festival itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Saya amat berterima kasih di atas sokongan pihak kementerian dan orang ramai terhadap penganjuran festival ini. Saya berharap dapat anjurkan festival ini dengan skala yang lebih besar pada tahun depan dan bukan hanya tertumpu pada muzik, hasil seni atau fesyen sahaja.

"Kalau diizinkan, saya merancang untuk menambah satu lagi elemen tarikan dalam acara ini iaitu memperkenalkan makanan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai jenis dan identiti itu kepada pengunjung.

"Mungkin pada tahun depan festival ini dapat menarik perhatian lebih ramai pelancong luar khasnya dari rantau Asia sendiri ke sini," katanya.

MASiF 2010 yang mementaskan pelbagai acara dan pameran karya muzik, koleksi rekaan fesyen dan karya seni oleh anak-anak Malaysia berlangsung pada 15 hingga 19 September 2010, bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu.

Festival selama lima hari yang menelan kos sebanyak RM4.2 juta itu dianjurkan oleh Saphire Screen Sdn Bhd dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), The Pavilion Kuala Lumpur, Bumiputra Designers Association (BDA), Majlis Muzik Malaysia, ArtMalaysia, YOUTH, Yayasan Basmi Kemiskinan dan ramai lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain