suria

Joshry Adamme Seronok Jadi Anak Yatim

Joshry (tengah) ketika berlakon dalam filem Crayon di samping Kahoe dan Faisal.
Joshry (tengah) ketika berlakon dalam filem Crayon di samping Kahoe dan Faisal.
Joshry (tengah) ketika berlakon dalam filem Crayon di samping Kahoe dan Faisal.

BAKAT cilik baru, Joshry Adamme, 9, melalui pengalaman yang menarik ketika melakonkan watak anak yatim bernama Afiq dalam filem Crayon.

Crayon yang dihasilkan dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin itu mengisahkan tentang dua sahabat baik dan pelajar dari sebuah universiti di Singapura, Adam dan Rafaat yang menghabiskan masa cuti semester mereka dengan melibatkan diri dalam kerja sosial sebagai sukarelawan di rumah anak yatim di Malaysia.

Di rumah anak yatim itu, mereka berjumpa dengan Mak Engku dan Afiq serta menyelami kehidupan anak yatim.

Selain Joshry, Crayon turut ditunjangi oleh Hon Kahoe (Adam Wan), Faisal Abdullah (Rafaat) dan Adibah Noor (Mak Engku). Filem berdurasi 83 minit itu menemui penonton di pawagam pada 11 November ini.

Dalam filem arahan sepenuhnya oleh Dean A Baharuddin ini, Joshry menggelarkan Adam Wan sebagai Abang One manakala Rafaat sebagai Abang Two.

Sebelum ini Joshry sering berlakon watak pembantu menerusi beberapa drama seperti Suri Bakawali, Kembar Kecoh dan Bujang Sepah. Lantas apabila berpeluang melakonkan watak utama lebih-lebih lagi dalam filem pertamanya, sudah pasti hatinya bertambah seronok.

“Saya rasa seronok semasa melakonkan babak memujuk Abang One supaya tidak merokok lagi kerana merokok boleh membawa maut dan saya tak mahu dia mati. Semasa babak itu, saya terpaksa menangis dan merayu.

“Selain itu, saya rasa seronok apabila dapat berlakon dengan anak-anak yatim lain. Babak yang paling menarik ketika bersama-sama Mak Engku dan anak-anak yatim lain adalah semasa di meja makan. Waktu itu hubungan kami bagaikan satu keluarga.

“Saya juga rasa seronok semasa tidur satu bilik dengan mereka bersama-sama dengan Abang One dan Abang Two sewaktu babak kilat berdentam-dentum pada suatu malam,” katanya kepada mStar Online.

Bayangkan, kanak-kanak seperti Joshry sendiri merasai keseronokan di samping menyemai rasa kasih-sayang ketika melakonkan filem tersebut.

Jadi, dia menyeru kepada semua kanak-kanak tanpa mengira bangsa dan agama membawa keluarga masing-masing untuk ke pawagam untuk menonton filem Crayon mulai 11 November ini.

Ini kerana filem bergenrekan drama, kekeluargaan dan pengembaraan tersebut turut menerapkan semangat perpaduan antara pelbagai kaum dan agama.

Artikel Sebelum

Artikel Lain