suria

Salahkan Persatuan Tidak Bantu : Seniman Bidas Badrul Muhayat

Harun Salim Bachik. - Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN
Harun Salim Bachik. - Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN
Harun Salim Bachik. - Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN

PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia(Seniman), Harun Salim Bachik membidas kenyataan pelakon terkenal 1990-an, Badrul Muhayat, 42, yang menyalahkan persatuan artis tidak tampil membantunya ketika berada dalam kesusahan.

Harun menegaskan, artis yang mempunyai masalah sepatutnya merujuk kepada persatuan dan bukannya, persatuan mencari mereka untuk menyelesaikan masalah.

Katanya, Seniman tidak menerima apa-apa aduan daripada Badrul dan kadang-kala, pihaknya mengetahui masalah mengenainya dari media.

"Bila dia tidak datang, kita tidak tahu kebenaran kisahnya. Bila susah baru cari kita. Apabila senang, adakah dia cari persatuan?" katanya kepada MStar Online di sini Ahad.

Beliau diminta mengulas komen Badrul pada laporan Metro Ahad, Ahad, yang menyatakan kesedihan apabila ketika dia berada dalam keadaan susah, tiada persatuan yang datang membantu.

Badrul menyifatkan dirinya seumpama semut dan mereka (persatuan) umpama gajah. Takkan semut nak mencari gajah.

Malah Badrul mendakwa, dia tidak mendapat peluang untuk berlakon selama lima bulan serta masyarakat memandang sinis terhadapnya.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut, Harun berkata, Seniman akan cuba bantu menyelesaikan masalah artis yang datang mengadu kepada persatuan itu, tetapi bukannya membantu mencari kerja.

"Kita tengok cara yang boleh kita bantu. Kalau perlukan kaunseling, kita boleh bantu. Kalau perlukan wang ringgit dan cari kerja, payah sedikit kerana Seniman bukan merupakan agensi mencari kerja," katanya.

Sementara itu, Harun berkata, artis mengembangkan kerjaya mereka atas daya usaha masing-masing.

Pada masa yang sama, katanya, artis perlu mengekalkan disiplin dan komitmen kerana mereka umpama "produk".

"Artis adalah umpama "produk". Bila rosak imej, maka rosaklah pasaran," jelas beliau.

Tambahnya, lagipun penerbit filem mengambil seseorang pelakon itu bekerja berdasarkan disiplin dan komitmen mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain